1

BENGKEL PENYEDIAAN TAKWIM & WAKTU SOLAT BAGI TAHUN 1444H/2023M

MELAKA TENGAH, 23 Feb – Hari ini berlangsungnya Bengkel Penyediaan Takwim & Waktu Solat Bagi Tahun 1444H/2023M anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka yang berlangsung di Hotel La Crista, Melaka.

Kursus yang berlangsung selama tiga hari ini telah disertai seramai 20 orang yang terdiri daripada Pegawai Falak Jabatan Mufti Negeri Melaka, Pegawai Jabatan Ukur dan Pemetaan Melaka dan Ahli Jawatankuasa Rukyah Negeri Melaka. Para peserta diberi pendedahan berkenaan cara penyususnan takwim hijriah bagi tahun 1444H berdasarkan kriteria baharu yang telah diputuskan oleh pihak JAKIM dan mempelajari aplikasi falak yang dibangunkan oleh penceramah melalui telefon pintar yang telah disampaikan oleh En. Ahmad Taufan bin Abdul Rashid dari Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA).

Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil; Mufti Kerajaan Negeri Melaka dalam ucapan perasmiannya berkata; beliau berharap agar bengkel yang diadakan dapat memberi pengetahuan kepada peserta dalam menyediakan data-data waktu solat negeri Melaka dan menyusun takwim hijri bagi tahun 1444H/2022-2023M di samping mendapat ilmu tambahan dalam mempelajari aplikasi falak selari dengan perubahan teknologi moden masa kini. Kursus ini telah diadakan dengan mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang telah ditetapkan berhubung kawalan penularan wabak penyakit Covid-19.




KUNJUNGAN HORMAT DARI DELEGASI JABATAN MUFTI NEGERI SELANGOR

TG.BIDARA, 22 Feb – Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil menerima kunjungan hormat dari Delegasi Jabatan Mufti Negeri Selangor di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.

Kunjungan Jabatan Mufti Negeri Selangor ini diketuai oleh YAD Dato’ Dr Haji Anhar bin Haji Opir; Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor serta beberapa pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Dalam kunjungan selama dua jam itu, pelbagai perkara berkaitan isu semasa yang berkaitan dan beberapa isu berkenaan fatwa telah dibincangkan oleh kedua-dua belah pihak.

Delegasi Jabatan Mufti Negeri Selangor juga diberi kesempatan melawat beberapa kemudahan di Kompleks Falak Al-Khawarizmi seperti Balai Cerap Al-Khawarizmi dan Galeri Interaktif Planetarium Al-Khawarizmi. Sesi ini telah diadakan dengan mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang telah ditetapkan berhubung kawalan penularan wabak penyakit Covid-19.