1

CERAPAN RASMI HILAL ZULHIJJAH 1443 H/2022 M

TG BIDARA, 29 Jun – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Melaka dan Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Negeri Melaka telah mengadakan Cerapan Hilal Bulan Zulhijjah bertempat di Balai Cerap Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara pada jam 6.00 petang tadi.

Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka; Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin Bin Haji Baharudin telah mengetuai aktiviti mencerap kali ini bersama Timbalan Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Melaka; Sr Tuan Aszaman Bin Misran dan Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Negeri Melaka.

Setelah mendapati hasil cerapan di Kompleks Falak Al-Khawarizmi ,Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka; Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin Bin Haji Baharudin melaporkan kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa tiada kenampakan hilal.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja setelah menerima laporan dari semua negeri-negeri telah mengisytiharkan Tarikh 1 Zulhijjah 1443H telah ditetapkan pada 1 Julai 2022M(Jumaat) dan hari Raya Qurban pada 10 Julai 2022 (Ahad) bersamaan 10 Zulhijjah 1443H.




MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA NEGERI MELAKA BIL.2/2022

TG. BIDARA, 27 Jun – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil.2/2022 yang telah dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Hj Abdul Halim bin Tawil, telah berlangsung di Dewan Hamal Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka hari ini. Mesyuarat tersebut diadakan bagi membincangkan berkenaan isu-isu keagamaan semasa di Negeri Melaka.

Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan adalah Prof.Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim bagi membentangkan Taklimat Khas berkaitan Penentuan Hukum Plasma Darah Dalam Makanan Menurut Perspektif Islam kepada Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka.




KUNJUNGAN HORMAT DELEGASI JABATAN MUFTI NEGERI MELAKA KE JABATAN MUFTI NEGERI SEMBILAN

SEREMBAN, 21 Jun – Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil hari ini mengetuai delegasi bersama Datuk Haji Ali bin Umar; Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka dan pegawai dari Jabatan Mufti Negeri Melaka telah berkunjung ke Jabatan Mufti Negeri Sembilan bertempat di Bangunan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Kunjungan ini disambut baik oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Amran bin Haji Awaludin; Timbalan Mufti Negeri Sembilan dan pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Negeri Sembilan.Dalam pada itu, kunjungan hormat ini dapat mempereratkan lagi kerjasama yang sedia terjalin di antara Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Jabatan Mufti Negeri Sembilan serta turut memberi ruang bagi kedua-dua belah pihak bertukar-tukar pendapat serta membincangkan isu-isu yang berkaitan.




KUNJUNGAN HORMAT DARI PENGARAH JABATAN SIASATAN JENAYAH NARKOTIK (JSJN) BUKIT AMAN

BUKIT PALAH, 1 Jun – Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil hari ini menerima kunjungan hormat dari Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Dato Ayob Khan di Pejabat Mufti Negeri Melaka. Kunjungan hormat tersebut turut memberi ruang bagi kedua-dua belah pihak bertukar-tukar pendapat serta membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan.