PROGRAM DAURAH PERDANA FIQH RAMADHAN KITAB “RINGKAS FEQAH PUASA” 1445H/2024M
BUKIT PALAH, 5 Mac – Persoalan tentang perkara ibadah puasa amat popular dalam kalangan masyarakat Islam dimana-mana sahaja terutama menjelang bulan Ramadhan. Era kebangkitan Islam memperlihatkan masyarakat semakin prihatin dengan urusan ibadah khususnya dalam menjaga hubungan dengan Pencipta.
Sehubungan itu, Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Melaka, Persatuan Pegawai Syarak Negeri Melaka dan Persatuan Guru Takmir Negeri Melaka telah menganjurkan Program Daurah Perdana Fiqh Ramadhan 1445H/2024M bertempat di Auditorium Masjid Al-Azhim.
Program Daurah Perdana kali ini menampilkan penceramah tersohor Ustaz Muhadir bin Haji Joll yang telah menyampaikan hal-berkaitan puasa menerusi “Kitab Ringkasan Feqah Puasa” merangkumi perkara-perkara berkaitan puasa dan hukum-hakam.
Program ini telah dirasmikan oleh YB Tuan Haji Rosli bin Abdullah, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka.
Seramai 600 orang peserta telah hadir mengikuti program ini terdiri dari Pemegang Tauliah Negeri Melaka, Guru Takmir dan Pegawai Syarak di Negeri Melaka.
- Published in Berita
PROGRAM BICARA MUFTI SURAU AL-MUBARAK TAMAN POKOK MANGGA
POKOK MANGGA, 29 Feb – Di kesempatan hadirnya bulan Ramadhan, umat Islam harus merebut peluang yang ada dengan melaksanakan ibadah puasa dan lain-lain amalan soleh dengan bersungguh-sungguh di samping memohon keampunan dan keredaan Allah.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka menganjurkan Program Bicara Mufti yang telah berlangsung di Surau Al-Mubarak Taman Pokok Mangga, Melaka.
Program bual bicara berbentuk forum bertajuk “Peristiwa Perjalanan Israk Mikraj & Ambang Ramadan” ini telah menggandingkan dua orang tokoh hebat seperti Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Datuk Haji Rahimin bin Bani, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka dan Ustaz Shahril Asraf bin Haji Azmi, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Negeri Melaka selaku moderator.
- Published in Berita
KUNJUNGAN HORMAT DARI DELEGASI BANK SIMPANAN NASIONAL (BSN) CAWANGAN MELAKA
BUKIT PALAH, 27 Feb – Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil hari ini menerima kunjungan hormat dari Delegasi Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Melaka di Pejabat Mufti Negeri Melaka.
Kunjungan hormat tersebut diadakan bagi mempereratkan lagi kerjasama yang sedia terjalin di antara Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Melaka serta turut memberi ruang bagi kedua-dua belah pihak bertukar-tukar pendapat serta membincangkan isu-isu yang berkaitan.
- Published in Berita
PROGRAM KEMASUKAN PERCUMA SEMPENA HARI PENGISYTIHARAN TARIKH KEMERDEKAAN TANAH MELAYU
20 Februari 2024, Tanjung Bidara – Balai Cerap Al-Khawarizmi Jabatan Mufti Negeri Melaka telah mengadakan program kemasukan percuma Sempena Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Tanah Melayu. Program bermula seawal jam 9.00 pagi sehingga jam 5.00 petang. Balai Cerap Al-Khawarizmi merupakan antara salah satu dari 10 lokasi pelancongan yang mengadakan program kemasukan percuma pada 20 Februari 2024. Pelbagai pengisian disediakan kepada para pengunjung seperti tayangan planetarium percuma, lawatan ke galeri pameran balai cerap dan galeri interaktif planetarium Al-Khawarizmi.
Seramai 3540 pengunjung telah menghadiri program ini yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya rakyat negeri Melaka. Bagi memeriahkan aktiviti pada hari ini terdapat juga pertandingan permainan menguji minda dan cabutan bertuah yang diadakan. Para pengunjung berpeluang memenangi beberapa buah basikal, peralatan elektronik dan lain-lain lagi. Program ini telah memberi peluang kepada orang ramai untuk hadir ke Balai Cerap Al-Khawarizmi dan melakukan aktiviti disini. Penubuhan Balai Cerap Al-Khawarizmi ini adalah sebagai pusat pendidikan, penyelidikan dan astro pelancongan di negeri Melaka.
- Published in Berita
PROGRAM BICARA MUFTI SURAU JUMAAT AR-RAUDHAH TAMAN PAYA RUMPUT PERDANA
PAYA RUMPUT, 20 Feb – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah mengadakan Program Bicara Mufti di Surau Jumaat Ar-Raudhah Taman Paya Rumput Perdana semalam.
Program berbentuk forum ini menampilkan panel kerhormat seperti Datuk Haji Rahimin Bin Bani, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka, Ustaz Shamsul Amri bin Ismail (Syamsul Debat), Penceramah Selebriti dan Ustaz Rosmanizam bin Rosdi selaku moderator.
Lebih 500 orang jemaah membanjiri Surau Jumaat Ar-Raudhah Taman Paya Rumput Perdana bagi menyaksikan forum bual bicara yang bertajuk ” Keluarga Bahagia, Titian Ke Syurga”.
Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka turut hadir mengimarahkan forum berkenaan sekaligus berkesempatan menyampaikan cenderamata kepada barisan panel dan Jawatankuasa Surau Jumaat Ar-Raudhah Taman Paya Rumput Perdana.
- Published in Berita
KUNJUNGAN HORMAT DARI YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH (YADIM) & PERSATUAN WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA
BUKIT PALAH, 16 Januari – Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil menerima kunjungan hormat dari Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM dan Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) di Pejabat Mufti Negeri Melaka pada jam 2.30 petang tadi.
Kunjungan hormat tersebut turut memberi ruang bagi kedua-dua belah pihak bertukar-tukar pendapat serta mengeratkan hubungan kerjasama strategik antara Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM), Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Jabatan Mufti Negeri Melaka.
- Published in Berita
PROGRAM BACAAN AL-QURAN 24 JAM TANPA HENTI DAN MAJLIS KHATAM AL-QURAN PERDANA SEMPENA KARNIVAL ISLAMIK ANTARABANGSA MELAKA TAHUN 2023 (KIAM’23)
KRUBONG, 1 Januari – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah menjayakan Program Bacaan Al-Quran 24 Jam Tanpa Henti Peringkat Negeri Melaka yang telah berlangsung selama 5 hari bermula 28 Disember 2023 sehingga 1 Januari 2024 bertempat di Masjid Cina, Krubong, Negeri Melaka.
Seramai 300 orang peserta terdiri dari kalangan pelajar tahfiz di Negeri Melaka, Institusi Pengajian Islam Negeri Melaka, Persatuan Sahabat Al-Quran Negeri Melaka, Pegawai Syarak Negeri Melaka serta Anggota dari Kor Agama Angkatan Tentera Kem Terendak telah menjayakan bacaan Al-Quran sepanjang 5 hari tanpa henti secara marathon.
Majlis Khatam Al-Quran Perdana hari ini dipimpin oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka.
Dalam pada itu, program ini turut diisi dengan alunan ayat suci oleh Hafiah Al-Quran dan Tadabbur Al-quran oleh Keluarga Ustaz Haji Azraie bin Dato’ HajiAbdul Hak dan Ustazah Sarrul Munirah binti Haji Haris serta Tausiyah yang telah disampaikan oleh Sheikh Muhammad bin Abd Aziz Al-Ghonim, Penasihat Am dan Ahli Lajnah Fatwa Al-Azhar, Tanta, Mesir.
TYT Tun Seri Setia Dr. Hj. Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Yang Di-Pertua Negeri Melaka telah merasmikan majlis tersebut serta berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada Pondok Darul Ulum Al-Arabiyyah Al-Islamiyyah (DUAI),Kolej Al-Quran Sayyidina Ali (KAQSA) dan Universiti Melaka (UNIMEL).
Turut hadir Datuk Seri Utama Haji Sulaiman bin Md Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka dan Datuk Badaruddin bin Mohd Kassim, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Melaka.
- Published in Berita