KUALA SG. BARU, 15 Julai – Bersempena Istiwa’ A’dzam dan Hari Asyura, yang berlangsung serentak Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka, Jabatan Agama Islam Melaka dan Japerun Dun Kuala Linggi telah mengadakan Forum Perdana Maal Hijrah 1446H bertempat di Masjid Al Hafiz,Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, Melaka.
Program kali ini diadakan bersempena fenomena Istiwa Azam iaitu satu keadaan di mana matahari akan berada tepat pada titik zenith (ghayah) ketika istiwa. Fenomena ini akan berlaku apabila nilai sudut istiwa matahari bersamaan dengan nilai latitud tempatan.
Sehubungan itu, Jabatan Mufti Negeri Melaka melalui Bahagian Falak Syari’e telah mengambil kesempatan dari peristiwa itu melalui penceramah jemputan Ustaz Ahmad bin Zainal Abidin, Ahli Persatuan Falak Syarie Negeri Melaka untuk memberi taklimat fenomena istiwa’ a’dzam serta menerangkan kepada orang awam kaedah mengukur arah kiblat ketika terjadinya fenomena tersebut.
Seterusnya, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim Bin Tawil; Mufti Kerajaan Negeri Melaka mengiringi Timbalan EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama merangkap ADUN Kuala Linggi, YB Tuan Rosli bin Abdullah menyantuni penduduk-penduduk sekitar dengan menyalurkan bantuan saguhati dan kit makanan kepada 80 orang anak-anak yatim dan asnaf sekitar Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, Melaka.
Selepas solat maghrib secara berjemaah, program diteruskan dengan Forum Maal Hijrah 1446H ‘HIJRAH DAN CABARAN’ menampilkan moderator iaitu Ustaz Mohd Nidzar bin Nor Mohamd, Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Melaka serta barisan panel kehormat seperti Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan YBhg Dato’ (Dr.) Haji Nooh bin Gadot, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI).
Sesi bual bicara kali ini membincangkan berkaitan tema sambutan maal hijrah pada tahun 1446 H adalah ‘’Al Falah Pemacu Malaysia Madani’’, bertepatan dengan semangat dan falsafah diambil daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW untuk dihayati kerana penghijrahan terbukti membuka lembaran kejayaan untuk memacu ke arah Malaysia MADANI.