BUKIT PALAH, 28 Mac – Buat julung kali bagi tahun 2023, Perhimpunan Bulanan Agensi Agama Islam Negeri Melaka Bil.2/2023 yang telah dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Melaka telah diadakan di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah,Melaka pagi tadi.
Perhimpunan dimulakan dengan sesi “Executive Talk” menerusi tajuk “Pemerkasaan Penyampaian Perkhidmatan Pengurusan Islam Dalam Merealisasikan Malaysia Madani” yang telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Wan Mohamad bin Dato Sheikh Abdul Aziz, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Perhimpunan kali ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Wira Haji Md.Rawi bin Mahmud, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Melaka dalam ucapannya berkata: “Beliau menyarankan agar semua warga Agensi Agama Islam Negeri Melaka terus mengekalkan semangat kekeluargaan di samping menjaga disiplin serta menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab sebagai Penjawat Awam“.
Seterusnya, YBhg. Datuk Wira Haji Md.Rawi bin Mahmud, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Melaka diiringi Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka telah menyampaikan Pertukaran Perjanjian Pajakan Tanah & Kompleks Falak Al-Khawarizmi diantara Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka, Pertukaran Perjanjian Sebahagian Sewaan Bangunan diantara Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Jabatan Agama Islam Negeri Melaka, Penyerahan Dokumen Sighah Persempadanan Kariah Masjid Negeri Melaka, Anugerah Pekerja Cemerlang Peringkat Jabatan dan Anugerah Pekerja Cemerlang Peringkat Negeri Melaka.
Perhimpunan ini turut dihadiri oleh 300 orang penjawat awam termasuk Ketua Jabatan dan agensi di bawah Agensi Agama Islam Negeri Melaka.