KRUBONG, 1 Januari – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah menjayakan Program Bacaan Al-Quran 24 Jam Tanpa Henti Peringkat Negeri Melaka yang telah berlangsung selama 5 hari bermula 28 Disember 2023 sehingga 1 Januari 2024 bertempat di Masjid Cina, Krubong, Negeri Melaka.
Seramai 300 orang peserta terdiri dari kalangan pelajar tahfiz di Negeri Melaka, Institusi Pengajian Islam Negeri Melaka, Persatuan Sahabat Al-Quran Negeri Melaka, Pegawai Syarak Negeri Melaka serta Anggota dari Kor Agama Angkatan Tentera Kem Terendak telah menjayakan bacaan Al-Quran sepanjang 5 hari tanpa henti secara marathon.
Majlis Khatam Al-Quran Perdana hari ini dipimpin oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka.
Dalam pada itu, program ini turut diisi dengan alunan ayat suci oleh Hafiah Al-Quran dan Tadabbur Al-quran oleh Keluarga Ustaz Haji Azraie bin Dato’ HajiAbdul Hak dan Ustazah Sarrul Munirah binti Haji Haris serta Tausiyah yang telah disampaikan oleh Sheikh Muhammad bin Abd Aziz Al-Ghonim, Penasihat Am dan Ahli Lajnah Fatwa Al-Azhar, Tanta, Mesir.
TYT Tun Seri Setia Dr. Hj. Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Yang Di-Pertua Negeri Melaka telah merasmikan majlis tersebut serta berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada Pondok Darul Ulum Al-Arabiyyah Al-Islamiyyah (DUAI),Kolej Al-Quran Sayyidina Ali (KAQSA) dan Universiti Melaka (UNIMEL).
Turut hadir Datuk Seri Utama Haji Sulaiman bin Md Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka dan Datuk Badaruddin bin Mohd Kassim, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Melaka.