BANDA HILIR, 5 Jun – Dalam usaha memperkukuhkan jaringan ukhuwah dan menyemarakkan penghayatan Islam dalam masyarakat, Program Bicara Mufti Sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Banda Hilir telah diadakan di Masjid An-Nur, Banda Hilir dengan penglibatan aktif penduduk setempat serta para pegawai dari Jabaran Mufti Negeri Melaka dan jawatankuasa Masjid An-Nur.
Program dimulakan dengan Sesi Ziarah Kasih yang disertai oleh Pegawai Jabatan Mufti Negeri Melaka bersama Jawatankuasa Masjid ke kediaman mantan Pegawai Syarak Masjid berkenaan sebagai tanda penghargaan dan silaturahim atas jasa serta sumbangan beliau kepada institusi masjid dan masyarakat setempat.
Seterusnya, para jemaah dan penduduk setempat berpeluang mengikuti sesi Bicara Mufti yang telah disampaikan oleh Dr. Mohamad Nazli bin Omar, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka. Beliau mengupas tajuk “Generasi Harmoni: Santun Berbicara, Erat Persaudaraan”, yang menekankan kepentingan adab dalam komunikasi, memupuk ukhuwah serta peranan masyarakat dalam membina suasana yang harmoni dan sejahtera.
Sebelum majlis melabuhkan tirainya, Ustaz Mohd Nazri bin Abdul Majid, Ketua Bahagian Fatwa dan Buhuth Jabatan Mufti Negeri Melaka, telah menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan kepada semua Pegawai Syarak yang bertugas di Masjid An-Nur sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan khidmat bakti mereka dalam mengimarahkan institusi masjid.
Program ini diharap dapat terus memperkukuhkan hubungan antara Jabatan Mufti Negeri Melaka, institusi masjid dan masyarakat setempat, di samping menyemarakkan budaya ilmu, kasih sayang dan persaudaraan dalam kalangan umat Islam.





![]()



