28 Safar 1448 H | Selasa, 11 Ogos 2026
Soalan Lazim Peta Laman Maklum Balas |
| |
Jabatan Mufti Negeri Melaka
Utama / Warta Fatwa / Aqidah / Larangan Mempercayai dan Mengamalkan Perkara Khurafat

Larangan Mempercayai dan Mengamalkan Perkara Khurafat

FATWA20-Perkara-Khurafat ยท 19 January 2012

Jata Negeri Melaka

NEGERI MELAKA

Warta Kerajaan
DITERBITKAN DENGAN KUASA

GOVERNMENT OF MALACCA GAZETTE
PUBLISHED BY AUTHORITY

Jil. 56 No. 2

19hb Januari 2012

TAMBAHAN No. 11
PERUNDANGAN

M. P.U. 64.

ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI MELAKA) 2002

FATWA DI BAWAH SEKSYEN 36

FATWA yang dinyatakan dalam Jadual telah disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa di bawah seksyen 35 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 [En. No. 7 tahun 2002] dan telah dikemukakan kepada Majlis oleh Mufti, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, menurut subseksyen 36(3), dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah subseksyen 36(4) bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta dan telah dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri menurut subseksyen 36(6) fatwa itu adalah disiarkan dalam Warta di bawah subseksyen itu.

JADUAL

    1. Khurafat ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Khurafat juga merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan bersifat karut atau dusta;
    2. Azimat atau tangkal ialah suatu objek yang ditulis dengan ayat-ayat atau huruf-huruf tertentu atau objek tertentu yang dianggap mempunyai kesaktian dan kuasa ghaib yang melampaui kekuatan semulajadi apabila dijampi atau dipuja;
    3. Islam sangat menitikberatkan soal-soal akidah, syariah dan akhlak. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber yang asal seperti al-Quran, al-Hadith, Ijmaโ€™ dan Qiyas menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah ditolak oleh Islam;
    4. Amalan memuja dan memohon pertolongan dari objek yang dipuja seperti yang selalu dilakukan oleh sesetengah bomoh dan dukun atau individu tertentu adalah syirik dan menyesatkan.
    5. Haram menggunakan azimat atau tangkal yang mengandungi rajah-rajah atau tulisan-tulisan yang tidak difahami seperti objek-objek tertentu dan bercampur aduk dengan ayat al-Quran, atau berdasarkan kepada sihir, atau yang memuja hantu syaitan dan jin iblis, atau yang mengandungi benda-benda najis atau kotor dan menganggapkan tangkal mempunyai kuasa;
    6. Amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu penjauh jin, penimbul, penyeri, pemanis, mempercepatkan jodoh, pelaris, penunduk musuh, penunduk kata, pemerdu suara, pembungkam, panarik rezeki, penjaga diri, penguat tenaga batin dan sebagainya yang dicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam;
    7. Jampi adalah haram sekiranya ia mengandungi perkataan yang tidak difahami maknanya atau yang berdasarkan sihir atau memuja hantu syaitan dan jin iblis atau mengiktikadkan bahawa jampi itu yang memberi kesan sehingga si pesakit menjadi sembuh;
    8. Mana-mana orang Islam yang terlibat dengan perkara syirik atau khurafat, menggunakan azimat atau tangkal atau mengamalkan jampi serapah yang bertentangan dengan akidah, syariat dan akhlak Islam wajib segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah Taala.

Bertarikh 28 Disember 2011
[JMM/BFB(S)/351/255/01/13; PUNM. 700-02/30 JILID 2]

DATUK SERI HAJI MOHD ALI BIN MOHD RUSTAM
Pengerusi/Chairman,
Majlis Agama Islam Melaka

Fail Fatwa

FATWA20-Perkara-Khurafat.pdf
โ† Kembali ke Aqidah Semua Warta Fatwa โ†’