
Bermula di Sekolah Kebangsaan Batu 7, Tanjung Karang hingga Darjah Enam (1965–1970), Sekolah Menengah Agama Seri Desa (1971–1973), Maahad Muhammadi Kota Bharu (1974–1977) dan Institut Pengajian Tinggi Nilam Puri, Kelantan (1978–1980).
Memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Kepujian) dalam bidang Usuluddin di Universiti Malaya (1980–1984), Ijazah Sarjana dalam bidang Dakwah (1995–1997), dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Syariah dan Pengurusan Islam di Universiti Malaya (2001–2004).
Bermula sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S41 di Pusat Penyelidikan Islam, Jabatan Perdana Menteri (1984–1989), kemudian Pegawai Penyelaras Rancangan Takmir Masjid dan Surau Negeri Melaka (1990). Berkhidmat sebagai Penolong Mufti di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Cawangan Labuan) (2005–2007) dan di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) (2007–2009).
Dilantik sebagai Timbalan Mufti Negeri Melaka pada 19 September 2011, menjalankan tugas Mufti mulai 23 September 2014, dan dilantik secara rasmi sebagai Mufti Kerajaan Negeri Melaka yang kelima pada 15 Oktober 2014. Beliau bersara secara pilihan pada 1 Mei 2016. Turut menjadi Ahli Majlis Agama Islam Melaka dan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka (2014–2016).
Menjalankan kajian berkaitan pengurusan pentadbiran hal ehwal Islam dan menjadi fasilitator bengkel modul JAKIM. Beliau menganggotai Jawatankuasa Rukyah, Panel Halal, Panel Pengurusan Masjid dan Surau serta Panel Teks Khutbah Negeri Melaka, dan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka. Aktif dalam penulisan menerusi majalah terbitan DBP dan jabatan, akhbar Berita Harian serta Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa terbitan USIM.
Menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JAKIM (2004, 2007, 2010) dan Sijil Penghargaan Jabatan Agama Islam Selangor (2009). Dianugerahkan pingat Anugerah Kebesaran Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah oleh Kerajaan Negeri Selangor (2009), dan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2014.