1 Jamadilakhir 1448 H | Rabu, 11 November 2026
Jabatan Mufti Negeri Melaka
Home / News & Press / Program Wacana Hadis Negeri Melaka bagi Tahun 2026 yang men…
News · 11 November 2026

Program Wacana Hadis Negeri Melaka bagi Tahun 2026 yang mengangkat tema "Teduhan Sunnah Dalam Dunia Digital"

AYER KEROH, 4 Nov – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menganjurkan Program Wacana Hadis Negeri Melaka bagi Tahun 2026 yang mengangkat tema "Teduhan Sunnah Dalam Dunia Digital" bertempat di Auditorium Kompleks KDN Melaka.

​Program bermula dengan pendaftaran peserta pada jam 8.00 pagi dan disusuli dengan taklimat khas daripada Lembaga Tabung Haji (TH) yang disampaikan oleh Pengarah Wilayah Selatan, Hajah Zurita binti Ahmad Raffie, bertajuk "Perjalanan Menuju Istitoah: Media Sebagai Jambatan Ilmu ke Tanah Suci".

​Wacana ini turut dimeriahkan dengan dua sesi pembentangan ilmiah utama yang mengupas cabaran penyebaran maklumat agama di media sosial. Sesi pertama mengetengahkan tajuk "Penyebaran Hadis di Media Sosial: Cabaran Kesahihan dan Tanggungjawab Ummah" oleh Dr. Wan Nasyrudin bin Wan Abdullah selaku Ahli Lajnah Tahqiq Hadis, Kementerian Dalam Negeri (KDN). Manakala Sesi kedua pula membincangkan tajuk "Antara Viral dan Sahih: Menilai Kesahihan Hadis di Alam Maya" yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran Dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

​Majlis perasmian penutupan program telah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Ehsan bin Mohd Hosni, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka. Program ini diharapkan dapat memberi kesedaran mendalam kepada masyarakat agar sentiasa berhati-hati, berhemah, dan bertanggungjawab dalam menyaring serta berkongsi sebarang kandungan berunsurkan hadis di platform digital masa kini.

← All News