SOALAN LAZIM

Menurut Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002, Mufti Melaka bukan sekadar penasihat agama, tetapi juga otoriti syariah tertinggi di negeri ini — dari pengeluaran fatwa hingga memastikan ia sah dan berkuatkuasa perundangan
Jawatankuasa Fatwa hendaklah pada lazimnya mengikut qaul muktamad (pendapat-pendapat yang diterima) Mazhab Syafie.
Jika qaul muktamad dalam Mazhab Syafie berlawanan dengan kepentingan awam, Jawatankuasa Fatwa boleh mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.
Jika tiada satu pun qaul muktamad daripada empat mazhab tersebut yang sesuai dengan kepentingan awam, Jawatankuasa Fatwa boleh membuat fatwa mengikut ijtihad tanpa terikat dengan mazhab tersebut selagi tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah.
Menurut Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 37(2):

“Selepas sesuatu fatwa diwartakan, ia menjadi mengikat bagi semua orang Islam di Negeri Melaka, dan hendaklah dihormati dan dipatuhi oleh semua Mahkamah Syariah.”

Melanggar fatwa yang telah diwartakan di Melaka adalah satu kesalahan, dari segi:
  • Syariah (berdosa dan menyalahi hukum agama)
  • Undang-undang negeri (boleh didenda dan dipenjara di bawah enakmen syariah)
Kiblat menurut bahasa adalah arah hadap. Dan kiblat yang dimaksudkan adalah Kaabah. Manakala menurut ilmu falak kiblat merujuk kepada arah menghadap ke Kaabah di atas glob bulatan bumi mengikut jarak yang terdekat. Para ulamak sepakat menyatakan bahawa menghadap ke kiblat merupakan salah satu daripada syarat sah solat melainkan dalam keadaan-keadaan tertentu yang dibenarkan seperti solat ketika dalam peperangan dan solat sunah dalam keadaan bermusafir. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 150 yang bermaksud:
Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.
Justeru, arah kiblat tidak membawa makna lain melainkan arah yang wajib dihadapkan oleh setiap orang Islam ketika mengerjakan solat fardhu 5 waktu sehari semalam. Arah ini hendaklah diketahui secara yakin atau qat’ie khusus bagi mereka yang berada berhampiran dan dapat melihat bangunan Kaabah. Diriwayatkan bahawa “sesungguhnya Rasulullah SAW solat 2 rakaat menghadap kaabah: dan baginda bersabda: Inilah kiblat”
Menentukan arah kiblat boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Pertama sekali, seseorang itu perlu mengetahui nilai azimut kiblat bagi lokasi kedudukannya. Bagi Malaysia, nilai azimut adalah pada antara 291 darjah hingga 293 darjah. Antara kaedah menentukan kiblat adalah dengan menggunakan peralatan kompas, kaedah istiwa’ a’dzam, kaedah lintasan matahari se arah kiblat, kaedah pedoman suria (kaedah mendapatkan arah kiblat melalui kedudukan matahari harian), kaedah matahari terbit dan terbenam serta kaedah buruj bintang.
Berdasarkan perubahan arah terbit dan terbenam matahari di atas muka bumi ini, maka matahari akan melalui di atas Kaabah dan berada pada kedudukan istiwa’ dua kali dalam satu tahun iaitu pada 28 Mei (jam 5:16 petang) dan 16 Julai (jam 5:28 petang) pada tahun-tahun biasa dan kurang sehari iaitu pada 27 Mei dan 15 Julai pada tahun-tahun lompat. Pada ketika ini semua bayang-bayang sesuatu objek tegak yang kelihatan akan menghala ke arah Kaabah.
Terdapat satu buruj yang sering dikaitkan dengan arah kiblat, iaitu Buruj ‘Orion’ atau Belantik. Buruj ini akan berada di atas kepala kita ketika waktu Maghrib diantara bulan Januari hingga bulan Mac. Bintang-bintang yang berada didalam buruj ini agak terang dan mudah di lihat. Buruj ini mempunyai 3 bintang yang sebaris menghala hampir ke arah Barat Laut iaitu arah kiblat. Tapi perlu diingat, kaedah Buruj ‘Orion’ ini hanya sesuai dan boleh digunakan di Malaysia atau negara jiran seperti Singapura, Brunei, Indonesia dan selatan Thailand.
Anda perlu mengisi borang permohonan pengukuran arah kiblat yang boleh didapati di laman web ini pada bahagian perkhidmatan -> Permohonan Arah Kiblat
TOP