
PANTAI PUTERI, 4 Julai – Bengkel Pemantapan Modul Kelab Falak dan Astronomi bagi guru-guru penyelaras seluruh negeri Melaka telah berjaya dilaksanakan pada 3 hingga 4 Julai 2025 bertempat di Puteri Bay Hotel, Melaka. Bengkel selama dua hari ini bertujuan memperkasakan pelaksanaan aktiviti Kelab Falak dan Astronomi di peringkat sekolah menerusi pengukuhan modul dan peningkatan pengetahuan guru-guru.
Bengkel ini dikendalikan oleh penceramah jemputan, Encik Shahrin bin Ahmad, Pengasas Portal Falak Online yang berpengalaman luas dalam bidang falak dan astronomi. Sepanjang dua hari bengkel berlangsung, para peserta didedahkan kepada empat modul utama yang menyentuh aspek teori dan praktikal dalam bidang astronomi.
Pada hari pertama bengkel, sesi dimulakan dengan Modul Pengenalan Ilmu Falak dan Astronomi pada jam 9.00 pagi, diikuti Modul Objek Angkasa dan Fenomena Angkasa pada jam 11.00 pagi. Sesi petang diteruskan dengan Modul Koordinat dan Penggunaan Perisian Astronomi yang memberi pendedahan kepada kaedah menentukan kedudukan objek langit menggunakan kaedah khusus.
Hari kedua bengkel dimulakan dengan Modul Pengenalan dan Penggunaan Teleskop yang memberi peluang kepada peserta untuk memahami asas penggunaan peralatan penting dalam pemerhatian langit malam.
Majlis Penutupan telah disempurnakan oleh YBhg. Puan Mahfudzah binti Mohamed Nor, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka.
Dalam ucapannya, YBhg. Puan Mahfudzah menekankan kepentingan ilmu falak dalam pembentukan sahsiah dan jati diri pelajar, serta menyeru agar guru-guru penyelaras meneruskan usaha membudayakan ilmu falak ini di sekolah masing-masing. Usaha Jabatan Mufti Negeri Melaka ini turut memberikan suntikan semangat dan pengiktirafan kepada bidang falak sebagai salah satu disiplin ilmu yang relevan dalam pendidikan masa kini.
Bengkel ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada penghasilan modul yang lebih mantap dan sistematik, sekali gus memperkukuhkan peranan Kelab Falak dan Astronomi sebagai medium pendidikan berasaskan sains dan nilai-nilai Islam.
Bengkel sehari yang bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini mengetengahkan Modul Penggunaan Takwim Hijri dan Miladi Pada Masa Kini, selaras dengan usaha memperkukuh kefahaman pelajar terhadap sistem kalendar Islam dan penggunaannya dalam kehidupan seharian serta penyelarasan dengan kalendar Masihi.
Antara pengisian utama bengkel termasuk tiga slot pembentangan yang disampaikan oleh fasilitator jemputan, En. Razlan bin Ahmad, merangkumi topik Taklimat Penentapan Awal Bulan Islam di Malaysia, Kaedah Pembentukan Takwim Hijri dan Miladi di Malaysia dan Imkanur Rukyah: Kaedah Penetapan Awal Bulan Islam di Malaysia.
Majlis penutup bengkel telah disempurnakan oleh Tuan Shaifulfazlee Bin Mohamad, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka. Turut hadir memberikan sokongan dan semangat kepada para peserta ialah Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka.
Bengkel ini bukan sahaja memberi pendedahan teori dan praktikal kepada pelajar berkaitan ilmu falak, malah menjadi platform untuk menyemai minat mendalam terhadap kajian astronomi Islam sejak di bangku sekolah.




