Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Kota Laksamana
MELAKA TENGAH, 23 Mei – Jabatan Mufti Negeri Melaka melalui Bahagian Fatwa dan Buhuth telah menganjurkan Program Bicara Mufti sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Kota Laksamana bertempat di Masjid Kampung Hulu, Melaka.
Program telah diserikan dengan ceramah agama bertajuk “Zulhijjah: Bulan Tarbiah Jiwa dan Penyatuan Ummah” yang disampaikan oleh Ustaz Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Mantan Timbalan Mufti Negeri Melaka.
Turut diadakan sesi ziarah kasih bagi menyantuni penduduk setempat yang memerlukan serta penyampaian kit makanan kepada 7 orang penerima dalam kalangan kariah Masjid Kampung Hulu yang ditimpa kesusahan.
Program ini diharapkan dapat memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai penghayatan bulan Zulhijjah di samping menyemai semangat ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan ummah.





![]()
- Published in AKTIVITI
Majlis Bicara Ilmu & Penyampaian Tauliah Mengajar Agama dan Al-Quran Negeri Melaka
PANTAI PUTERI, 19 Mei – Majlis Bicara Ilmu & Penyampaian Tauliah Mengajar Agama dan Al-Quran Negeri Melaka telah diadakan bertempat di Puteri Bay Hotel, Pantai Puteri dengan menghimpunkan para tenaga pengajar agama serta penerima tauliah dari seluruh Negeri Melaka.
Majlis diisi dengan ceramah utama yang telah disampaikan oleh Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Mantan Timbalan Mufti Negeri Melaka menerusi tajuk “Penyampaian Dakwah Berkesan Melalui Pendekatan Rahmah & Hikmah”. Dalam perkongsian tersebut, beliau menekankan kepentingan pendekatan dakwah yang berteraskan kebijaksanaan, kelembutan dan kasih sayang dalam mendepani cabaran masyarakat masa kini agar mesej Islam dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan menyentuh hati masyarakat.
Majlis turut diserikan dengan sesi penyampaian sijil tauliah mengajar agama dan Al-Quran yang telah disampaikan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Ehsan bin Mohd Hosni, Timbalan Mufti Negeri Melaka kepada seramai 53 orang penerima. Penyampaian tauliah ini merupakan satu pengiktirafan rasmi kepada individu yang layak untuk menyampaikan pengajaran agama dan Al-Quran di Negeri Melaka.
Penganjuran program ini diharapkan dapat melahirkan lebih ramai pendakwah dan tenaga pengajar agama yang berwibawa, berakhlak serta mampu menyampaikan dakwah secara berhikmah selaras dengan tuntutan dan keperluan masyarakat





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka Bersama Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah & Hospital Melaka
BUKIT PALAH, 19 Mei – Suasana di Bangunan Pusat Islam Melaka dipenuhi dengan kehadiran warga Agensi Agama Islam Negeri Melaka yang hadir menjayakan Program Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan anjuran Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Mufti Negeri Melaka bersama Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah & Hospital Melaka yang berlangsung bermula jam 9.00 pagi.
Program tersebut diadakan sebagai usaha meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan penjagaan kesihatan serta menggalakkan budaya menderma darah dalam kalangan penjawat awam. Sambutan yang diterima juga amat memberangsangkan apabila ramai mengambil peluang menjalani pemeriksaan kesihatan dan menyertai kempen derma darah yang disediakan.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pemeriksaan tekanan darah, pemeriksaan tahap gula dalam darah serta khidmat nasihat kesihatan kepada para peserta yang telah diperiksa oleh Pegawai Kesihatan. Penganjuran program seperti ini diharap dapat menyemai amalan hidup sihat di samping memupuk semangat prihatin dan tanggungjawab sosial dalam membantu golongan yang memerlukan bekalan darah.





![]()
- Published in AKTIVITI
Majlis Cerapan Rasmi Hilal Zulhijjah 1447H/2026M Peringkat Negeri Melaka
TG BIDARA, 17 Mei – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Melaka bersama Ahli Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri Melaka telah mengadakan Cerapan Hilal Zulhijjah 1447H/2026M bertempat di Balai Cerap Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka bermula jam 6.30 petang.
Kaedah yang digunapakai di Malaysia adalah berdasarkan kaedah rukyah dan hisab dalam menentukan permulaan awal bulan Islam.
Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Sahibus Samahah Tuan Haji Ehsan bin Hosni telah mengetuai aktiviti mencerap kali ini bersama Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Melaka, Tuan Sr. Nik Mohd Wafi bin Nik Mohamed Daud bersama Ahli Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri Melaka.
Hasil cerapan petang ini, hilal telah kelihatan pada jam 7.41 malam dan telah menepati kriteria Imkan Al-Rukyah di Balai Cerap Al- Khawarizmi, Tanjung Bidara.
Sahibus Samahah Tuan Haji Ehsan bin Hosni kemudiannya telah melaporkan kepada Pejabat Penyimpan Besar Mohor Raja-Raja berkaitan hasil cerapan pada petang tadi.
Maka, tarikh permulaan 1 Zulhijjah 1447H adalah jatuh pada 18 Mei 2026 M (Isnin). Oleh demikian tarikh bagi Hari Raya Aidiladha pada tahun ini jatuh pada 27 Mei 2026 M bersamaan 10 Zulhijjah 1447H iaitu pada hari Rabu.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dun Ayer Molek
AYER MOLEK, 6 Mei – Masjid Al-Mukmin, Kampung Bukit Durian menjadi lokasi pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Molek yang menghimpunkan masyarakat setempat dalam pengisian berteraskan dakwah, kebajikan dan kemasyarakatan.
Program tersebut turut dihadiri YB Datuk Rahmad bin Mariman, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka merangkap ADUN Ayer Molek bersama wakil Jabatan Mufti Negeri Melaka serta jawatankuasa masjid, yang turut menyantuni penduduk menerusi sesi ziarah kasih ke tiga buah rumah melibatkan individu yang diuji dengan masalah kesihatan sebagai manifestasi keprihatinan dan kebersamaan terhadap masyarakat setempat.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ceramah agama bertajuk “Penghayatan Ibadah Haji dan Aidiladha Dalam Membentuk Insan Bertakwa” yang telah disampaikan oleh Datuk Haji Rahimin bin Bani, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka.
Turut berlangsung ialah penyampaian kit makanan kepada tujuh penerima daripada kariah Masjid Al-Mukmin selain penyampaian cenderahati kepada penceramah dan pihak masjid.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat terus memperkukuh hubungan antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat di samping menyemarakkan budaya dakwah dan kebajikan dalam komuniti setempat.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dun Gadek
ALOR GAJAH, 17 April – Jabatan Mufti Negeri Melaka melalui Bahagian Fatwa & Buhuth telah menganjurkan Program Bicara Mufti Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dun Gadek bertempat di Masjid Al-Qaniteen, Kampung Tanjung Rimau, di sini.
Program ini mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat yang hadir bagi mengimarahkan masjid serta mengikuti pengisian ilmu yang disediakan.
Antara pengisian utama program termasuk aktiviti ziarah kasih ke rumah tiga pesakit terlantar serta penyampaian kit makanan kepada tujuh penerima yang terdiri daripada mantan pegawai syarak dan Ahli Jawatankuasa masjid yang uzur. Sumbangan ini telah disampaikan oleh wakil Jabatan Mufti Negeri Melaka sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan memerlukan.
Kemuncak program adalah ceramah agama yang telah disampaikan oleh Dr. Mohamad Nazli bin Omar, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka dengan tajuk “Masjid Nadi Kampung: Peranan dan Tanggungjawab Bersama”. Ceramah tersebut menekankan kepentingan peranan masjid sebagai pusat pembangunan ummah serta tanggungjawab bersama dalam mengimarahkan institusi tersebut.
Semoga penganjuran program seumpama ini dapat terus memperkukuh hubungan masyarakat serta meningkatkan kesedaran terhadap peranan masjid sebagai pusat penyatuan ummah.





![]()
- Published in AKTIVITI
Kunjungan Hormat Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka
AYER KEROH, 9 April – Timbalan Mufti Negeri Melaka, Sahibus Samahah Tuan Haji Ehsan bin Haji Mohd Hosni telah mengadakan kunjungan hormat kepada YB Datuk Rahmad bin Mariman, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh.
Pertemuan berkenaan bertujuan memperkenalkan diri serta mengeratkan hubungan kerjasama antara institusi mufti dan pihak pentadbiran kerajaan negeri, khususnya dalam hal ehwal agama Islam di Negeri Melaka.
Dalam pertemuan tersebut, YB Datuk Rahmad bin Mariman turut merakamkan ucapan tahniah kepada Timbalan Mufti Negeri Melaka yang baharu serta mendoakan agar beliau dapat menjalankan amanah dengan cemerlang.
Beliau juga menzahirkan harapan agar pelantikan ini dapat terus memperkukuh pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di negeri ini.





![]()
- Published in AKTIVITI
Pogram Bicara Mufti sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dun Asahan
BUKIT SENGGEH, 7 April — Program Bicara Mufti sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Dun Asahan telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Al Firdaus Kampung Bukit Senggeh,Jasin.
Program ini dimulakan dengan aktiviti Ziarah Kasih ke rumah pesakit terlantar di sekitar kawasan itu, diikuti penyampaian kit makanan sebagai tanda keprihatinan terhadap komuniti setempat.
Majlis turut dihadiri Datuk Fairul Nizam bin Roslan, EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka merangkap ADUN Asahan, yang menyampaikan ucapan serta menzahirkan komitmen dalam mendekati rakyat.
Hadirin seterusnya disajikan dengan Ceramah Agama yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Hanuar bin Mohd Talib bertajuk “Silaturrahim Kunci Keberkatan Syawal” yang menekankan kepentingan menjaga hubungan sesama insan serta memperkukuh ukhuwah dalam masyarakat.
Program ini mendapat sambutan menggalakkan dan dilihat berjaya mengeratkan hubungan antara pemimpin, institusi agama dan masyarakat setempat.





![]()
- Published in AKTIVITI
Majlis Cerapan Rasmi Hilal Syawal Tahun 1447H/2026M
TG.BIDARA, 19 Mac – Menjelang penghujung Ramadan yang penuh barakah ini, tumpuan seluruh rakyat Melaka kini terarah ke Balai Cerap Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka. Jabatan Mufti Negeri Melaka telah mengadakan Majlis Cerapan Rasmi Hilal Syawal bagi tahun 1447H/2026M di lokasi Cerapan rasmi tersebut pada petang tadi.
Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr.Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam; Yang di-Pertua Negeri Melaka bersama Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Negeri Melaka berkenan menghadiri Majlis Cerapan Hilal Syawal 1447H/2026M tersebut.
Sukacita dimaklumkan Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri Melaka yang diketuai oleh Sahibus Samahah Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin telah melakukan cerapan Hilal Syawal di Balai Cerap Al- Khawarizmi, Tanjung Bidara pada petang Khamis 19 Mac 2026M bersamaan 29 Ramadan 1447H dan melaporkan telah melakukan cerapan Hilal di lokasi mencerap Hilal Negeri Melaka kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Penyimpan Mohor Besar Raja-raja setelah menerima laporan dari semua 29 lokasi telah mengisytiharkan tarikh 1 Syawal 1447H adalah pada Sabtu 21 Mac 2026.
Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin juga turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di Negeri Melaka khususnya dan Malaysia amnya.





![]()
- Published in AKTIVITI
Majlis Bicara Ilmu dan Penyerahan Sijil Tauliah Mengajar Agama dan Al-Quran Siri 1/2026
MELAKA TENGAH, 5 Mac – Seramai 70 individu menerima Sijil Tauliah Mengajar Agama dan Al-Quran dalam Majlis Bicara Ilmu dan Penyerahan Sijil Tauliah Mengajar Agama dan Al-Quran Siri 1/2026 yang berlangsung di Swiss Garden Hotel Melaka.
Program ini menghimpunkan para guru agama dan Al-Quran dalam usaha memperkasa penyampaian ilmu Islam kepada masyarakat.
Majlis dimulakan dengan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Yang Arif Tuan Shukeri Najib bin Ab. Rahim, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bertajuk “Ramadan Madrasah Taqwa: Membina Mukmin Berkualiti.” Dalam tazkirah tersebut, beliau menekankan bahawa bulan Ramadan merupakan madrasah terbaik dalam membentuk insan bertakwa melalui penghayatan ibadah, pembinaan akhlak dan pengukuhan keimanan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin,Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka. Dalam majlis yang sama, beliau turut menyampaikan Sijil Tauliah Mengajar Agama dan Al-Quran kepada 70 orang penerima tauliah sebagai pengiktirafan kepada individu yang layak untuk mengajar serta menyampaikan ilmu agama secara rasmi.
Penganjuran majlis ini diharapkan dapat terus memperkukuh jaringan para pendidik agama serta memastikan penyampaian ilmu Islam kepada masyarakat dilaksanakan oleh mereka yang berkelayakan, berautoriti dan berintegriti.
Semoga usaha ini dapat melahirkan lebih ramai pendidik agama yang berwibawa dalam membimbing masyarakat ke arah penghayatan Islam yang lebih menyeluruh.





![]()
- Published in AKTIVITI










