Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Sungai Rambai
SUNGAI RAMBAI, 10 Julai – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menganjurkan Program Bicara Mufti sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bertempat di Masjid Ar-Riduan, Parit Penghulu, semalam.
Program bertajuk “Media Sosial: Antara Dakwah, Fitnah dan Tanggungjawab” ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai etika dan cabaran pengurusan maklumat di alam siber. Sesi forum tersebut menampilkan Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Sahibus Samahah Datuk Wira Hj Abdul Halim bin Tawil (Panel 1) dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka, YBhg. Ustaz Nor Amali @ Muhammad Dhiya’uddin bin Ab Rahim Al-Hafiz (Panel 2), dengan dikemudikan oleh Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmee selaku moderator.
Dalam kupasan program, Datuk Wira Hj Abdul Halim mengingatkan masyarakat tentang kepentingan prinsip ‘tabayyun’ iaitu menyaring kesahihan sesuatu berita sebelum dikongsi. Sementara itu, Ustaz Nor Amali menekankan agar media sosial dimanfaatkan sebagai medium dakwah yang positif serta menggesa netizen menjauhi bahaya fitnah digital.
Selain pengisian ilmu, program turut diserikan dengan aktiviti kemasyarakatan apabila Sahibus Samahah Datuk Wira Hj Abdul Halim bin Tawil meluangkan masa turun padang menyantuni penduduk kampung berhampiran yang sedang diuji dengan masalah kesihatan.
Program ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk setempat. Jabatan Mufti Negeri Melaka merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan Masjid Ar-Riduan, kepimpinan dan seluruh urus setia yang menjayakan program ini.





![]()
- Published in AKTIVITI
Kunjungan Hormat Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Melaka
BUKIT PALAH, 9 Julai – Dalam usaha memperkasakan institusi perundangan Islam, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Melaka telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Mufti Negeri Melaka. Pertemuan strategik yang berlangsung pada jam 12.00 tengah hari itu disambut mesra oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Sahibus Samahah Tuan Haji Ehsan bin Mohd Hosni, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka.
Kunjungan hormat ini bertujuan mengeratkan lagi hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua agensi agama negeri. Selain itu, ia menjadi platform terbaik untuk mengadakan perbincangan dua hala mengenai isu-isu berkaitan pengendalian serta pendakwaan kes-kes jenayah syariah di Melaka.Melalui pertemuan ini, pihak JPSNM amat menghargai pandangan serta nasihat yang diberikan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim Bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, demi memperkukuhkan pelaksanaan undang-undang syariah di Negeri Melaka. Semoga usaha murni ini terus memacu keadilan yang syumul.





![]()
- Published in AKTIVITI
Kunjungan Hormat YB Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
MELAKA, 6 Julai – Jabatan Mufti Negeri Melaka berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada YB Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ketibaan beliau disambut mesra oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, bersama Sahibus Samahah Tuan Haji Ehsan bin Mohd Hosni, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka.
Kunjungan rasmi ini bertujuan untuk memperkukuh ukhuwah serta memperkasa kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam mendepani isu-isu kefatwaan. Pertemuan ini turut memfokuskan kepada penyelarasan agenda pembangunan ummah, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
Seluruh warga Jabatan Mufti Negeri Melaka merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian YB Senator Puan Marhamah binti Rosli menyantuni institusi kefatwaan negeri ini. Semoga pertemuan yang penuh mahabbah ini membawa keberkatan demi kemaslahatan ummah secara berterusan.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Serkam
UMBAI, 3 Julai – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah berjaya menganjurkan Program Bicara Mufti Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Dun Serkam bertempat di Masjid Al-Alim, Paya Tanjung, Umbai, semalam.
Program dimulakan seawal jam 6.30 petang dengan aktiviti Ziarah Kasih oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, yang menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada tiga buah rumah penduduk kampung berhampiran.
Selesai solat Maghrib berjemaah, program diteruskan dengan Forum Bicara Mufti bertajuk “Memperkukuh Institusi Kekeluargaan Melalui Panduan Syariah” yang menampilkan Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Melaka selaku dan Datuk Hj. Mohammad bin Hashim, Imam Besar Masjid Al-Azhim selaku panel, manakala Ustaz Rosmanizam bin Rosdi, Guru Pendidikan Islam SMK Krubong bertindak sebagai moderator. Forum tersebut mengupas secara mendalam peranan panduan Syariah dalam membina keluarga yang harmoni dan berkat.
Bagi menyuburkan semangat keprihatinan, majlis turut diserikan dengan penyampaian Kit Makanan kepada tujuh orang penerima dalam kalangan ahli kariah masjid, diikuti pemyampaian cenderahati antara Jabatan Mufti Negeri Melaka dan pihak pengurusan Masjid Al-Alim.





![]()
- Published in AKTIVITI
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil. 2/2026
TG.BIDARA, 2 Julai – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil. 2/2026 telah bersidang dengan jayanya bertempat di Dewan Hamal, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, dengan kehadiran seramai 11 orang Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka.
Mesyuarat diadakan sebagai platform untuk membincangkan dan meneliti perkara-perkara yang dirujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bagi memastikan setiap isu yang dibawa mendapat penelitian dan pertimbangan yang sewajarnya.
Penganjuran mesyuarat ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Mufti Negeri Melaka dalam memperkukuh fungsi institusi fatwa sebagai badan yang berperanan memberikan panduan dan nasihat berkaitan hukum syarak, selaras dengan keperluan semasa serta demi kepentingan umat Islam di Negeri Melaka.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Rim
JASIN, 25 Jun – Membawa misi mendekatkan institusi fatwa dengan masyarakat , Jabatan Mufti Negeri Melaka melalui Bahagian Fatwa & Buhuth tampil menyemarakkan Program Wakil Rakyat Bersama Rakyat (WRUR) Dun Rim melalui pengisian Program Bicara Mufti bertempat di Masjid Ar Rahman, Kampung Kesang, Jasin.
Program dimulakan dengan penuh keinsafan melalui aktiviti ziarah kasih ke rumah-rumah warga emas dan penduduk yang uzur. Menerusi ziarah tersebut, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Sahibus Samahah Datuk Wira Hj. Abdul Halim bin Tawil bersama rombongan meluangkan masa menyantuni serta menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan bagi meringankan beban golongan yang memerlukan.
Kemuncak atur cara diteruskan pada sebelah malam menerusi penganjuran wacana ilmiah. Sesi tersebut membincangkan tajuk “Hijrah Rasulullah S.A.W : Asas Penyatuan Ummah” dalam usaha mengupas kepentingan perpaduan berpandukan sirah Islam.
Diskusi berkenaan membariskan Datuk Wira Hj. Abdul Halim bin Tawil selaku panel bersama Timbalan Mufti Negeri Melaka, Sahibus Samahah Tuan Haji Ehsan bin Mohd. Hosni manakala Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Ustaz Shahrir Asraf bin Hj. Azmi bertindak selaku moderator.
Antara intipati utama yang diketengahkan adalah mengenai signifikan peristiwa penghijrahan Baginda Rasulullah. Ahli panel turut menekankan perlunya masyarakat menghayati semangat hijrah dalam konteks memperkukuh perpaduan nasional serta mengetepikan jurang perbezaan demi kemaslahatan ummah.
Program kemasyarakatan ini bukan sahaja berjaya menyebarkan ilmu, malah memenuhi objektif utama dalam mendekatkan institusi fatwa dengan masyarakat melalui pendekatan yang lebih prihatin.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Telok Mas
TELOK MAS, 14 Jun – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menjayakan Program Bicara Mufti sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Telok Mas yang berlangsung di Masjid Al-Aziz, Kampung Pernu dengan pengisian forum bertemakan “Ma’al Hijrah: Menelusuri Manhaj Perubahan Dalam Pembinaan Ummah”.
Program tersebut menampilkan Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama YBhg. Datuk Haji Rahimin bin Bani, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka sebagai panel forum, manakala sesi forum dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmee, Pembantu Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Melaka.
Forum yang berlangsung selepas solat Maghrib berjemaah itu mengupas penghayatan peristiwa hijrah sebagai asas pembentukan masyarakat yang berdaya maju, berakhlak dan berpegang teguh kepada prinsip Islam dalam mendepani cabaran semasa.
Sebelum forum berlangsung, turut diadakan program Ziarah Kasih ke beberapa kediaman penduduk sekitar sebagai keprihatinan dan pendekatan dakwah yang dekat dengan masyarakat.Program berakhir dengan penyampaian cenderahati serta jamuan bersama para jemaah dan penduduk setempat yang hadir memeriahkan majlis.





![]()
- Published in AKTIVITI
Kunjungan Hormat ke atas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka
AYER KEROH, 11 Jun – Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Sahibus Samahah Tuan Haji Ehsan bin Mohd. Hosni, Timbalan Mufti Negeri Melaka telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam pada hari ini bertempat di Pejabat TYT Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Ayer Keroh, Melaka.
Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil telah melapor diri di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka pada 4 Jun 2026 (Khamis) dan mula menjalankan tugas secara rasmi sebagai Mufti Kerajaan Negeri Melaka pada 5 Jun 2026 (Jumaat). Manakala, Sahibus Samahah Tuan Haji Ehsan bin Mohd. Hosni telah melapor diri di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka pada 8 April 2026 (Rabu) sebagai Timbalan Mufti Negeri Melaka yang baharu.
Kunjungan hormat ini merupakan antara usaha memperkukuhkan hubungan antara institusi kefatwaan Negeri Melaka dengan pihak Istana, di samping memperkenalkan barisan kepimpinan baharu Jabatan Mufti Negeri Melaka. Pertemuan tersebut turut menjadi medan bagi bertukar pandangan berkaitan hal ehwal agama Islam serta peranan institusi kefatwaan dalam membimbing masyarakat.
Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan kekuatan, kebijaksanaan dan keberkatan kepada Sahibus Samahah Mufti dan Timbalan Mufti Negeri Melaka dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan demi agama, bangsa dan negara. Semoga institusi kefatwaan Negeri Melaka terus cemerlang dalam memartabatkan syiar Islam serta memimpin ummah ke arah kesejahteraan dan keberkatan.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Banda Hilir
BANDA HILIR, 5 Jun – Dalam usaha memperkukuhkan jaringan ukhuwah dan menyemarakkan penghayatan Islam dalam masyarakat, Program Bicara Mufti Sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Banda Hilir telah diadakan di Masjid An-Nur, Banda Hilir dengan penglibatan aktif penduduk setempat serta para pegawai dari Jabaran Mufti Negeri Melaka dan jawatankuasa Masjid An-Nur.
Program dimulakan dengan Sesi Ziarah Kasih yang disertai oleh Pegawai Jabatan Mufti Negeri Melaka bersama Jawatankuasa Masjid ke kediaman mantan Pegawai Syarak Masjid berkenaan sebagai tanda penghargaan dan silaturahim atas jasa serta sumbangan beliau kepada institusi masjid dan masyarakat setempat.
Seterusnya, para jemaah dan penduduk setempat berpeluang mengikuti sesi Bicara Mufti yang telah disampaikan oleh Dr. Mohamad Nazli bin Omar, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka. Beliau mengupas tajuk “Generasi Harmoni: Santun Berbicara, Erat Persaudaraan”, yang menekankan kepentingan adab dalam komunikasi, memupuk ukhuwah serta peranan masyarakat dalam membina suasana yang harmoni dan sejahtera.
Sebelum majlis melabuhkan tirainya, Ustaz Mohd Nazri bin Abdul Majid, Ketua Bahagian Fatwa dan Buhuth Jabatan Mufti Negeri Melaka, telah menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan kepada semua Pegawai Syarak yang bertugas di Masjid An-Nur sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan khidmat bakti mereka dalam mengimarahkan institusi masjid.
Program ini diharap dapat terus memperkukuhkan hubungan antara Jabatan Mufti Negeri Melaka, institusi masjid dan masyarakat setempat, di samping menyemarakkan budaya ilmu, kasih sayang dan persaudaraan dalam kalangan umat Islam.





![]()
- Published in AKTIVITI
Pelantikan Mufti Kerajaan Negeri Melaka
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil atas pelantikan beliau sebagai Mufti Kerajaan Negeri Melaka yang baharu.
Majlis penyerahan surat pelantikan telah disempurnakan oleh Datuk Wira Salhah binti Salleh pada 4 Jun 2026 (Khamis), jam 2.30 petang di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Seri Negeri.
Dimaklumkan bahawa beliau telah melapor diri di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka pada 4 Jun 2026 (Khamis) dan akan mula menjalankan tugas secara rasmi sebagai Mufti Kerajaan Negeri Melaka bermula 5 Jun 2026 (Jumaat).
Semoga pelantikan ini membawa keberkatan serta memperkukuhkan lagi peranan institusi kefatwaan dalam membimbing masyarakat, memartabatkan syiar Islam, dan menyumbang kepada pembangunan ummah serta kemajuan Negeri Melaka yang berteraskan syariat Islam.
Sekalung tahniah dan selamat menjalankan tugas. Semoga terus cemerlang dalam memimpin serta membimbing ummah ke arah kesejahteraan dan keberkatan.



![]()
- Published in AKTIVITI










