
MASJID TANAH, 30 Mei – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menganjurkan Program Mufti Bersama Ummah sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) sebagai usaha mendekatkan institusi kefatwaan kepada masyarakat. Program yang berlangsung di Masjid Al-Muttaqin Masjid Tengah, Lendu itu dihadiri oleh lebih 500 orang penduduk setempat.
Dalam usaha menyantuni Mantan Pegawai Syarak Masjid, Tuan Haji Hazarudin bin Haji Hazarudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka berkesempatan menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan asas kepada Mantan Pegawai Syarak Masjid yang diuji dengan beberapa masalah kesihatan.
Sebagai pengisian ilmiah menjelang sambutan Aidiladha, sebuah forum berbentuk bual bicara bertemakan “Korban kerana Allah” telah menampilkan barisan panelis berwibawa iaitu Tuan Haji Hazarudin bin Haji Hazarudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Dr. Muhammad Hafiz bin Saleh, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka serta dimoderatorkan oleh Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmee, Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Melaka.
Program ini mendapat suntikan istimewa dengan kehadiran tetamu kehormat, YB Datuk Seri Utama (Dr.) Haji Sulaiman bin Md Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu yang sudi meluangkan masa bersama para jemaah dan barisan penceramah.




