
BUKIT PALAH, 31 Julai – Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Sahibus Samahah Datuk Wira Dr. Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Negeri Melaka bertempat di Pejabat Mufti Negeri Melaka, Pusat Islam Melaka.
Kunjungan ini diketuai oleh Encik Md Ramzi bin bin Ishak, Timbalan Ketua Pengarah JAWHAR, bersama beberapa pegawai kanan jabatan. Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan strategik antara JAWHAR dan Jabatan Mufti Negeri Melaka dalam usaha memperkasakan pengurusan wakaf, zakat dan ibadah haji di peringkat negeri Melaka dan Malaysia khususnya.
Dalam pertemuan tersebut, pelbagai perkara telah dibincangkan termasuk isu-isu berkaitan aspek wakaf dan zakat, serta cadangan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam memperkukuhkan kefahaman dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan ibadah berkaitan.
Kunjungan ini diakhiri dengan sesi bergambar dan pertukaran cenderamata sebagai simbolik kepada jalinan kerjasama yang erat antara kedua-dua pihak.



