Program Bicara Mufti Sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Keroh
BATU BERENDAM, 30 April – Telah berlangsung Program Bicara Mufti Sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Keroh bertempat di Masjid Nurul Hidayah, Pulau Samak, Batu Berendam bermula jam 5.00 petang hingga 10.00 malam.
Program dimulakan dengan sesi Ziarah Kasih melibatkan Ahli Jawatankuasa Masjid bersama pegawai Jabatan Mufti Negeri Melaka. Antara yang terlibat ialah Ustaz Mohd Nazri bin Majid, Pegawai Hal Ehwal Islam, yang telah berkunjung ke tiga buah rumah mantan pegawai syarak masjid sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan terhadap jasa serta kebajikan mereka.
Seterusnya, program diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Noor Amali @ Muhammad Dhiya’uddin bin Abd Rahim Al-Hafiz bertajuk “Integriti dan Amanah sebagai Teras Kehidupan Muslim”. Penyampaian yang penuh penghayatan ini menekankan kepentingan nilai integriti dan amanah dalam membentuk peribadi Muslim yang unggul.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tetamu Kehormat, YB Adam Adli bin Abd Halim, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya.
Turut hadir, Sahibus Samahah Tuan Haji Ehsan bin Hosni, Timbalan Mufti Negeri Melaka yang telah menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan kepada ahli kariah yang diuji dengan masalah kesihatan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan kepada masyarakat setempat.
Program ini diharap dapat memperkukuhkan kefahaman masyarakat terhadap nilai-nilai murni Islam di samping mengeratkan hubungan antara institusi agama, pemimpin dan komuniti.




![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti Sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dun Machap
ALOR GAJAH, 23 April – Masjid Al-Hijrah Felda Hutan Percha telah menjadi lokasi penganjuran Program Bicara Mufti Sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dun Machap yang berlangsung dengan jayanya dan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Program dimulakan dengan sesi ziarah kasih oleh Tuan Haji Ehsan bin Hosni, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Ahli Jawatankuasa Masjid ke kediaman tiga pesakit terlantar sebagai tanda keprihatinan pihak masjid kepada ahli kariah.
Seterusnya, para hadirin menunaikan solat Maghrib secara berjemaah sebelum diisi dengan ceramah agama yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Hafiz bin Salleh, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka. Ceramah bertajuk “Mendidik Generasi Berakhlak Dalam Era Moden” menekankan kepentingan peranan ibu bapa, institusi keluarga dan masyarakat dalam membentuk generasi yang berakhlak mulia selaras dengan cabaran semasa.
Majlis turut diserikan dengan ucapan oleh Timbalan Mufti Negeri Melaka yang baharu dilantik, Tuan Haji Ehsan bin Hosni, yang mengambil kesempatan memperkenalkan diri kepada masyarakat setempat.
Dalam masa yang sama, turut berlangsung penyampaian kit makanan kepada tujuh penerima yang uzur sebagai inisiatif kebajikan dan sokongan kepada golongan yang memerlukan.
Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat terus memperkukuh hubungan antara institusi agama dan masyarakat di samping menyemai nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.




![]()
- Published in AKTIVITI
PENUTUPAN PERMOHONAN ARAH KIBLAT
Dimaklumkan bahawa permohonan penentuan arah kiblat melalui Jabatan Mufti Negeri Melaka ditutup buat sementara waktu mulai 4 Mei 2026. Sehubungan itu, sebarang permohonan baharu tidak akan diterima atau diproses sehingga dimaklumkan semula. Kerjasama dan perhatian semua pihak amat dihargai. Terima kasih”
![]()
- Published in PENGUMUMAN
SISTEM MYTAULIAH KINI TELAH DIBUKA
Dimaklumkan bahawa Sistem MyTauliah kini telah dibuka dan boleh digunakan oleh orang awam bagi tujuan permohonan serta pengurusan tauliah mengajar agama dan al-quran di Negeri Melaka. Orang ramai dijemput untuk menggunakan sistem ini bagi memudahkan urusan permohonan secara dalam talian.
![]()
- Published in PENGUMUMAN
Bengkel Penyediaan dan Semakan Takwim dan Jadual Solat 1448H/2026-2027M Peringkat Negeri Melaka
MELAKA, 10 Mac – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka telah mengadakan Bengkel Penyediaan dan Semakan Takwim dan Jadual Solat 1448H/2026-2027M Peringkat Negeri Melaka bertempat di Courtyard by Marriott, Bukit Cina, Melaka.
Bengkel yang dikendalikan oleh Ustaz Hardi bin Mohd Sadali ini memfokuskan kepada ketepatan zon waktu solat dan sempadan negeri Melaka. Selain itu, perbincangan turut menyentuh isu teknikal melibatkan waktu Syuruk dan Dhuha bagi memastikan umat Islam di Melaka mendapat panduan waktu ibadah yang paling tepat dan terkini. Penyusunan takwim hijriah 1448H adalah berdasarkan kriteria Imkanur Rukyah yang telah ditentukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Langkah proaktif ini penting bagi memastikan takwim yang bakal diterbitkan nanti sentiasa dikemas kini mengikut data astronomi yang sahih. Program ini diakhiri dengan sesi semakan data intensif para peserta di lokasi yang sama.




![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti (PBM) di Masjid Al-Faizin, Bukit Lintang, Melaka
BUKIT LINTANG, 9 Mac – Bermula dengan langkah kanan menerusi agenda ‘Ziarah Kasih’, Program Bicara Mufti (PBM) semalam berjaya menterjemahkan konsep ukhuwah sebenar apabila lapan buah keluarga di sekitar kawasan Masjid Al-Faizin disantuni dengan sumbangan kit makanan daripada Majlis Agama Islam Negeri Melaka.
Inisiatif murni itu kemudiannya diteruskan dengan majlis berbuka puasa dan solat berjemaah, sebelum suasana malam diimarahkan lagi dengan kehadiran Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka, Dr. Mohamad Nazli bin Omar.
Membawa tajuk yang cukup dekat dengan hati umat Islam iaitu “Malam Lailatul Qadar”, beliau dalam penyampaian tazkirahnya menyeru para jemaah yang hadir untuk mempertingkatkan kualiti ibadah dalam mengejar fasa akhir Ramadan yang penuh barakah.
Program yang padat dengan aktiviti bermula jam 5 petang itu berakhir dengan jamuan moreh kira-kira jam 11 malam, mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk setempat.




![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti (PBM) di Masjid An-Najihin, Taman Merdeka Jaya
BATU BERENDAM, 8 Mac – Program Bicara Mufti (PBM) yang berlangsung di Masjid An-Najihin, Taman Merdeka Jaya berjaya menyatukan elemen kebajikan dan pengisian ilmu dalam satu majlis yang cukup bermakna.
Bermula seawal jam 5.00 petang, program dibuka dengan sesi ‘Ziarah Kasih’ di mana pegawai Jabatan Mufti Negeri Melaka bersama AJK Masjid turun padang menyantuni serta menyampaikan sumbangan kit makanan kepada mantan pegawai masjid sebagai tanda penghargaan atas jasa bakti mereka selama ini.
Intipati utama program menyaksikan perkongsian ilmu menerusi sesi tazkirah khas yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Negeri Melaka. Beliau kemudiannya turut menyempurnakan penyampaian sumbangan Ramadan kepada golongan yang memerlukan sebagai simbolik keprihatinan jabatan terhadap kebajikan sosial penduduk setempat sepanjang bulan Ramadan.
Program diakhiri dengan majlis berbuka puasa dan solat Maghrib, Isya dan terawih secara berjemaah sekali gus memperkukuh sinergi antara kepimpinan agama dan masyarakat.




![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti (PBM) di Masjid Al-Khauthar, Nyalas
JASIN, 7 Mac – Masjid Al-Khauthar, Nyalas hari ini menjadi tumpuan masyarakat setempat sempena penganjuran Program Bicara Mufti (PBM) yang menggabungkan pengisian rohani bersama aktiviti kebajikan.
Program dimulakan dengan penuh keinsafan melalui sesi ‘Ziarah Kasih’ ke kediaman mantan pegawai syarak serta ahli kariah yang diuji masalah kesihatan bagi menyantuni mereka.
Kemuncak program diisi dengan Tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka, Datuk Hj Rahimin bin Bani. Menerusi kupasan bertajuk “Al-Quran: Mukjizat Teragung Nabi Muhammad S.A.W”, beliau menekankan kepentingan kembali kepada panduan Al-Quran dalam mendepani cabaran hidup masa kini.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan Kit Makanan dan santunan buat anak-anak yatim sebagai manifestasi keprihatinan jabatan terhadap komuniti setempat.
Acara yang meriah dihadiri oleh penduduk kariah ini diakhiri dengan majlis berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah.




![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti (PBM) di Masjid Al-Ukhwah Pokok Asam, Melaka
KLEBANG KECHIL, 6 Mac – Program Bicara Mufti (PBM) di Masjid Al-Ukhwah Pokok Asam kali ini meriah dengan pengisian rohani dan kebajikan sempena bulan Ramadan.
Program dimulakan dengan sesi ‘Ziarah Kasih’ oleh Pegawai Jabatan Mufti Melaka bersama Ahli Jawatankuasa Masjid turun padang menyantuni serta menyampaikan sumbangan kit makanan buat mantan pegawai masjid yang banyak berjasa.
Program diteruskan dengan tazkirah ringkas berkenaan kupasan isu hukum semasa oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Hafiz bin Salleh ,AJK Fatwa Negeri Melaka yang memberi pencerahan buat jemaah bagi menghadapi bulan Ramadan al-Mubarak ini.
Majlis turut diserikan dengan Majlis Berbuka Puasa bersama diikuti solat fardu dan solat sunat Tarawih secara berjemaah.




![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti yang berlangsung di Masjid Ar Rabbani Kampung Sungai Siput
LUBOK CHINA, 28 Februari – Program Bicara Mufti yang berlangsung di Masjid Ar Rabbani Kampung Sungai Siput pada Sabtu lepas telah berlangsung dengan penuh keharmonian dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Program dimulakan dengan sesi ziarah kasih bagi menyantuni beberapa mantan pegawai syarak masjid yang sedang diuji dengan masalah kesihatan. Kunjungan tersebut mencerminkan keprihatinan pihak Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Jawatankuasa Masjid Ar Rabbani dalam menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang telah lama berkhidmat kepada institusi masjid dan masyarakat.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Dr. Mohamad Nazli bin Omar, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka yang menyentuh mengenai “Puasa Membentuk Insan Bertaqwa”. Dalam ceramah tersebut, beliau menekankan kepentingan memperkukuh amalan, memperbanyakkan sedekah serta memanfaatkan bulan penuh keberkatan itu dengan sebaiknya.
Turut hadir memeriahkan program ialah YB Datuk Hameed Bin Mytheen Kunju Basheer, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam Dan Pengangkutan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau telah menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan kepada beberapa jemaah yang memerlukan. Sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban penerima khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara berbuka puasa bersama para jemaah sebelum menunaikan solat fardu Maghrib, Isya dan seterusnya solat sunat Tarawih secara berjemaah.
Keseluruhan program bukan sahaja menjadi platform penyampaian ilmu, malah mengukuhkan lagi ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.




![]()
- Published in AKTIVITI










