BUKIT PALAH, 14 Januari – Delegasi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Mufti Negeri Melaka bertempat di Pusat Islam Melaka, pada jam 2.30 petang.
Rombongan MAIWP telah diketuai oleh Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, bersama Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP.
Kunjungan hormat tersebut telah disambut oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, bersama barisan pegawai Jabatan Mufti Negeri Melaka.
Kunjungan ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan kerjasama serta mempererat silaturahim antara kedua-dua institusi dalam memperkasakan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.
Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil yang menzahirkan penghargaan atas kesudian pihak MAIWP mengadakan kunjungan hormat tersebut. Seterusnya, ucapan balasan telah disampaikan oleh pihak MAIWP yang menekankan kepentingan kolaborasi strategik antara institusi agama bagi memastikan tadbir urus Islam dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Kunjungan ini turut diserikan dengan sesi perbincangan dua hala yang membincangkan pelbagai isu berkaitan pentadbiran Islam, pertukaran pandangan serta peluang kerjasama pada masa hadapan. Perbincangan ini diharapkan dapat memberi manfaat bersama dalam usaha memperkukuh institusi keagamaan di peringkat negeri dan persekutuan.
Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen berterusan MAIWP dan Jabatan Mufti Negeri Melaka dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama demi kepentingan ummah.





![]()



