
MELAKA, 5 September – Suasana penuh semangat dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW mewarnai Majlis Perhimpunan dan Perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka 1447/2025M yang berlangsung meriah di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, hari ini.
Seramai 6,227 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan institusi pendidikan menyertai perarakan sejauh empat kilometer, membabitkan 112 kontinjen dari seluruh negeri.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Dr. Asmah Ab Rahman turut berangkat menyertai perarakan, diiringi barisan kepimpinan negeri.
Turut mengambil bahagian dalam perarakan ialah Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kekuatan kontinjen seramai 25 orang, diketuai oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka.





