DURIAN TUNGGAL, 2 Oktober – Program Bicara Ilmu Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Ar Rahman, Parit Melana, malam tadi. Program yang bertemakan “Bersatu Hati, Membina Ummah: Teladan Dari Sirah Nabawiyyah” itu berjaya menarik kehadiran jemaah yang merupakan penduduk kampung berhampiran.
Forum yang bermula pada jam 6.00 petang hingga 11.00 malam itu menampilkan dua tokoh ilmuwan terkenal sebagai panel, iaitu Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka. Sesi forum telah dikendalikan dengan penuh berhemah oleh Ustaz Muhammad Azheem Ikmal Bin Nor Azmi, Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Melaka selaku moderator.
Dalam forum tersebut, para panelis menyentuh pelbagai aspek penting daripada sirah Nabi Muhammad SAW yang dapat dijadikan panduan dalam usaha memperkukuhkan perpaduan ummah. Penekanan diberikan kepada nilai kasih sayang, tolak ansur, dan semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sepanjang perjuangan baginda dalam membina masyarakat Islam yang utuh dan berdaya tahan.
Menambahkan lagi makna dalam program ini, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil turut berkesempatan menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan kepada beberapa penduduk yang memerlukan di kawasan sekitar Masjid Ar Rahman. Inisiatif ini mencerminkan semangat kepedulian sosial yang selari dengan ajaran Islam dan nilai-nilai murni yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Para hadirin turut diberi peluang mengajukan soalan kepada panelis dalam sesi soal jawab yang berlangsung secara interaktif dan penuh ilmiah. Program ini bukan sahaja memberi pencerahan kepada jemaah, malah turut menyemarakkan semangat cintakan Rasulullah SAW dalam kalangan masyarakat setempat.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Datuk Zahari bin Abd Khalil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal yang turut meluangkan masa bersama penduduk setempat bagi memeriahkan lagi program ilmu ini.





![]()



