DURIAN TUNGGAL, 5 November – Program Forum Bicara Mufti Sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Durian Tunggal telah berlangsung meriah di Masjid Ar Rahmah, Kampung Pancor, bermula jam 6.00 petang hingga 11.00 malam.
Forum bertemakan “Masjid Makmur, Ummah Sejahtera” itu turut dihadiri oleh YB Datuk Zahari Abd Kalil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh peranan masjid dalam membina masyarakat Islam yang sejahtera.
Program menampilkan dua panel jemputan iaitu Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Tuan Haji Hairul Amin bin Madon, Pegawai Khas Agama kepada Ketua Menteri Melaka dengan Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmi, Pembantu Hal Ehwal Islam Agama Jabatan Mufti Negeri Melaka sebagai moderator. Para panelis menekankan kepentingan memakmurkan masjid sebagai pusat ilmu, perpaduan dan kebajikan ummah.
Dalam majlis tersebut, Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin turut menyampaikan sumbangan kit makanan kepada beberapa penerima yang memerlukan, sebagai simbol keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
Program yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat ini berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin, institusi masjid dan masyarakat setempat selaras dengan konsep Wakil Rakyat Untuk Rakyat.





![]()



