Program Bicara Mufti : “Rasulullah Ikon Kepimpinan Sepanjang Zaman”,
PENG.BATU, 17 September – Sempena sambutan Maulidur Rasul bagi Tahun 2025 Masihi bersamaan 1447 Hijrah ini, Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menganjurkan Program Bicara Mufti bertemakan “Rasulullah Ikon Kepimpinan Sepanjang Zaman”, bertempat di Masjid Nur As Saadah, Pengkalan Batu, Melaka.
Program yang berbentuk forum bual bicara itu menampilkan dua tokoh ilmuwan terkemuka iaitu Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, dan Dr Wan Ann Seng, Pendakwah. Turut mengemudi sesi sebagai moderator ialah Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmee, Pembantu Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Melaka.
Forum yang berlangsung dalam suasana penuh keinsafan dan penghayatan itu berjaya menarik perhatian para jemaah dengan kupasan mendalam mengenai sifat kepimpinan Rasulullah SAW yang relevan sepanjang zaman, serta bagaimana ia boleh dijadikan panduan oleh segenap lapisan masyarakat masa kini.
Selain pengisian ilmu, program ini turut diserikan dengan penyampaian sumbangan berbemtuk kit makanan oleh Datuk Wira Mufti kepada beberapa keluarga yang diuji dengan masalah kesihatan, sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada golongan yang memerlukan.
Program ini bukan sahaja dapat memperkukuh semangat cintakan Rasulullah SAW, malah menjadi wadah mempererat hubungan antara institusi agama dan masyarakat setempat.
Turut hadir Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali mengimarahkan majlis ilmu berkenaan.





- Published in AKTIVITI
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bilangan 4 bagi Tahun 2025
SENAI, 3 Ogos – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bilangan 4 bagi Tahun 2025 yang berlangsung selama tiga hari, bermula 1 hingga 3 Ogos 2025 bertempat di Impiana Hotel Senai, Johor Bahru.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka merangkap Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka, dengan kehadiran penuh oleh barisan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada tokoh-tokoh ilmuwan, ahli akademik dan agamawan.
Mesyuarat ini diadakan bagi membincangkan isu-isu berkenaan hukum yang berbangkit dalam masyarakat Islam di Negeri Melaka, termasuklah cadangan fatwa baharu, penilaian terhadap perkembangan semasa serta semakan terhadap fatwa-fatwa sedia ada. Kesemua perbincangan dijalankan secara teliti dan berasaskan disiplin ilmu yang mantap, berpandukan prinsip Maqasid Syariah serta keperluan semasa umat Islam.





- Published in AKTIVITI
Majlis Tautan Ukhwah antara Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bersama Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor
JOHOR BAHRU, 2 Ogos – Majlis Tautan Ukhwah antara Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bersama Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah berlangsung dengan jayanya di Opero Hotel, Southkey City, Johor Bahru.
Majlis penuh bermakna ini bertujuan memperkukuh silaturahim serta meningkatkan kerjasama strategik antara institusi fatwa kedua-dua negeri dalam memperkasakan hal ehwal agama Islam di peringkat negeri dan kebangsaan.
Delegasi dari Negeri Melaka diketuai oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan telah disambut mesra oleh Datuk Seri Dr. Nooh Gadot, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), yang juga merupakan tokoh ulama tersohor dari Negeri Johor.
Program ini turut memberi ruang untuk perbincangan dan pertukaran pandangan berhubung isu-isu semasa berkaitan hukum-hakam dan dasar pentadbiran Islam, di samping membina jaringan kerjasama yang lebih erat antara ahli jawatankuasa fatwa dari kedua-dua negeri.
Majlis Tautan Ukhwah ini diharapkan dapat menjadi platform yang berterusan dalam menyatukan pandangan serta memperkukuh institusi fatwa di Malaysia, seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat Islam secara keseluruhan.





- Published in AKTIVITI
Kunjung Hormat ke Fakulti Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai
SKUDAI, 2 Ogos – Fakulti Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai telah menerima kunjungan hormat daripada Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka.
Delegasi yang diketuai oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka ini disambut mesra oleh pihak pengurusan Fakulti Tamadun Islam. Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik dalam usaha memperkasakan wacana keilmuan Islam serta mempererat kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan fatwa.
Sepanjang sesi kunjungan diadakan, kedua-dua belah pihak telah berbincang berkaitan isu-isu semasa berkaitan fatwa serta peluang kolaborasi dalam bentuk seminar, bengkel dan penerbitan akademik.
Lawatan ini diharap dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama antara pihak Universiti Teknologi Mara (UTM) Skudai, Johor dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka, sekaligus menyumbang kepada pemerkasaan institusi keagamaan dan pendidikan Islam di Malaysia.





- Published in AKTIVITI
Bengkel Kelab Falak Dan Astronomi Siri 1/2025 Modul Penggunaan Takwim Hijri Dan Miladi Pada Masa Kini Peringkat Negeri Melaka
TG. BIDARA, 10 Julai – Seramai 200 pelajar daripada 20 buah sekolah yang menyertai Sekolah-Sekolah Kelab Falak Negeri Melaka di bawah seliaan Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menyertai Bengkel Kelab Falak Dan Astronomi Siri 1/2025 Modul Penggunaan Takwim Hijri Dan Miladi Pada Masa Kini Peringkat Negeri Melaka bertempat di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara.
Bengkel sehari yang bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini mengetengahkan Modul Penggunaan Takwim Hijri dan Miladi Pada Masa Kini, selaras dengan usaha memperkukuh kefahaman pelajar terhadap sistem kalendar Islam dan penggunaannya dalam kehidupan seharian serta penyelarasan dengan kalendar Masihi.
Antara pengisian utama bengkel termasuk tiga slot pembentangan yang disampaikan oleh fasilitator jemputan, En. Razlan bin Ahmad, merangkumi topik Taklimat Penentapan Awal Bulan Islam di Malaysia, Kaedah Pembentukan Takwim Hijri dan Miladi di Malaysia dan Imkanur Rukyah: Kaedah Penetapan Awal Bulan Islam di Malaysia.
Majlis penutup bengkel telah disempurnakan oleh Tuan Shaifulfazlee Bin Mohamad, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka. Turut hadir memberikan sokongan dan semangat kepada para peserta ialah Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka.
Bengkel ini bukan sahaja memberi pendedahan teori dan praktikal kepada pelajar berkaitan ilmu falak, malah menjadi platform untuk menyemai minat mendalam terhadap kajian astronomi Islam sejak di bangku sekolah.





- Published in AKTIVITI
Bengkel Pemantapan Modul Kelab Falak dan Astronomi
PANTAI PUTERI, 4 Julai – Bengkel Pemantapan Modul Kelab Falak dan Astronomi bagi guru-guru penyelaras seluruh negeri Melaka telah berjaya dilaksanakan pada 3 hingga 4 Julai 2025 bertempat di Puteri Bay Hotel, Melaka. Bengkel selama dua hari ini bertujuan memperkasakan pelaksanaan aktiviti Kelab Falak dan Astronomi di peringkat sekolah menerusi pengukuhan modul dan peningkatan pengetahuan guru-guru.
Bengkel ini dikendalikan oleh penceramah jemputan, Encik Shahrin bin Ahmad, Pengasas Portal Falak Online yang berpengalaman luas dalam bidang falak dan astronomi. Sepanjang dua hari bengkel berlangsung, para peserta didedahkan kepada empat modul utama yang menyentuh aspek teori dan praktikal dalam bidang astronomi.
Pada hari pertama bengkel, sesi dimulakan dengan Modul Pengenalan Ilmu Falak dan Astronomi pada jam 9.00 pagi, diikuti Modul Objek Angkasa dan Fenomena Angkasa pada jam 11.00 pagi. Sesi petang diteruskan dengan Modul Koordinat dan Penggunaan Perisian Astronomi yang memberi pendedahan kepada kaedah menentukan kedudukan objek langit menggunakan kaedah khusus.
Hari kedua bengkel dimulakan dengan Modul Pengenalan dan Penggunaan Teleskop yang memberi peluang kepada peserta untuk memahami asas penggunaan peralatan penting dalam pemerhatian langit malam.
Majlis Penutupan telah disempurnakan oleh YBhg. Puan Mahfudzah binti Mohamed Nor, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka.
Dalam ucapannya, YBhg. Puan Mahfudzah menekankan kepentingan ilmu falak dalam pembentukan sahsiah dan jati diri pelajar, serta menyeru agar guru-guru penyelaras meneruskan usaha membudayakan ilmu falak ini di sekolah masing-masing. Usaha Jabatan Mufti Negeri Melaka ini turut memberikan suntikan semangat dan pengiktirafan kepada bidang falak sebagai salah satu disiplin ilmu yang relevan dalam pendidikan masa kini.
Bengkel ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada penghasilan modul yang lebih mantap dan sistematik, sekali gus memperkukuhkan peranan Kelab Falak dan Astronomi sebagai medium pendidikan berasaskan sains dan nilai-nilai Islam.
Bengkel sehari yang bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini mengetengahkan Modul Penggunaan Takwim Hijri dan Miladi Pada Masa Kini, selaras dengan usaha memperkukuh kefahaman pelajar terhadap sistem kalendar Islam dan penggunaannya dalam kehidupan seharian serta penyelarasan dengan kalendar Masihi.
Antara pengisian utama bengkel termasuk tiga slot pembentangan yang disampaikan oleh fasilitator jemputan, En. Razlan bin Ahmad, merangkumi topik Taklimat Penentapan Awal Bulan Islam di Malaysia, Kaedah Pembentukan Takwim Hijri dan Miladi di Malaysia dan Imkanur Rukyah: Kaedah Penetapan Awal Bulan Islam di Malaysia.
Majlis penutup bengkel telah disempurnakan oleh Tuan Shaifulfazlee Bin Mohamad, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka. Turut hadir memberikan sokongan dan semangat kepada para peserta ialah Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka.
Bengkel ini bukan sahaja memberi pendedahan teori dan praktikal kepada pelajar berkaitan ilmu falak, malah menjadi platform untuk menyemai minat mendalam terhadap kajian astronomi Islam sejak di bangku sekolah.





- Published in AKTIVITI
Kursus Peningkatan Ilmu Calon Pegawai Masjid Negeri Melaka Bil. 2/2025 (Hari Ketiga)
TG. BIDARA, 3 Julai– Kursus Peningkatan Ilmu Calon Pegawai Masjid Negeri Melaka Bil. 2/2025 anjuran Bahagian Fatwa dan Buhuth Jabatan Mufti Negeri Melaka telah berlangsung dengan jayanya selama 3 hari bermula 1 Julai hingga 3 Julai 2025 bertempat di Dewan Hamal, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara. Kursus yang dihadiri oleh seramai 52 orang peserta ini diadakan bertujuan untuk memperkukuh ilmu dan kefahaman calon pegawai masjid dalam pelbagai aspek pengurusan dan hukum-hakam Islam.
Program dimulakan pada jam 8.30 pagi dengan Slot 7 bertajuk “Munakahat” yang disampaikan oleh Ustaz Huzailan bin Hamzah, memberi penekanan kepada hukum dan peranan pegawai masjid dalam urusan perkahwinan serta isu-isu semasa berkaitan munakahat.
Sesi diteruskan pada jam 11.00 pagi dengan Slot 8 bertajuk “Pengurusan Taharah”, yang dikendalikan oleh Ustaz Arif Ariffin bin Abu Bakar. Slot ini memberi pendedahan mendalam kepada peserta mengenai aspek kebersihan diri dan ibadah, khususnya dalam konteks pengurusan masjid dan komuniti.
Pada sebelah petang, program diteruskan dengan Slot 9: Latihan Dalam Kumpulan bermula jam 2.00 petang hingga 3.30 petang. Slot ini memberi ruang kepada peserta untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam bentuk perbincangan dan pembentangan berkumpulan.
Kursus ini diakhiri dengan Majlis Penangguhan yang berlangsung pada jam 3.30 petang. Majlis telah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan ilmu dan tanggungjawab besar yang bakal digalas oleh para pegawai masjid sebagai pemimpin komuniti Islam di Negeri Melaka.
Program ini bukan sahaja menjadi wadah pengukuhan ilmu tetapi turut memperkukuhkan jaringan kerjasama antara calon pegawai masjid dengan pihak berautoriti agama negeri.






- Published in AKTIVITI
Kursus Peningkatan Ilmu Calon Pegawai Masjid Negeri Melaka Bil. 2/2025 (Hari Kedua)
TG. BIDARA, 2 Julai – Kursus Peningkatan Ilmu Calon Pegawai Masjid Negeri Melaka Bil. 2/2025 diteruskan dengan pengisian tiga slot utama yang memberi fokus kepada kemahiran praktikal dan kefahaman asas peranan pegawai masjid.
Slot 4 bermula jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi disampaikan oleh Ustaz Muhammad Fadhil bin Nor Azman dengan tajuk Pengurusan Jenazah. Slot ini menekankan aspek teori dan praktikal berkaitan pengendalian jenazah mengikut hukum syarak dan tatacara yang betul.
Slot 5 dan 6 yang berlangsung pada jam 10.30 pagi hingga 1.00 petang dan disambung jam 2.30 hingga 4.30 petang telah dikendalikan oleh Prof. Dr. Muhammad Hafiz bin Saleh. Slot-slot ini memberi tumpuan kepada Azan, Iqamah dan Solat serta Ilmu Tajwid, yang penting dalam memastikan ketepatan penyampaian serta bacaan dalam ibadah harian.
Kursus ini merupakan salah satu inisiatif berterusan Jabatan Mufti Negeri Melaka dalam melahirkan pegawai masjid yang kompeten, berilmu dan bersedia memikul amanah di institusi masjid negeri.





- Published in AKTIVITI
Kursus Peningkatan Ilmu Calon Pegawai Masjid Negeri Melaka Bil. 2/2025 (Hari Pertama)
TG.BIDARA, 1 Julai – Kursus Peningkatan Ilmu Calon Pegawai Masjid Negeri Melaka Bil. 2/2025 anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Dewan Hamal, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.
Kursus yang dianjurkan ini bertujuan memperkukuhkan ilmu dan kefahaman para calon pegawai masjid dalam bidang-bidang teras seperti akhlak Islam dan tasawwuf, akidah, serta hukum-hakam sembelihan dan ibadah korban.
Antara fasilitator jemputan yang menyampaikan pengisian ilmiah sepanjang kursus ini ialah Ustaz Mohd Haneef bin Zin, yang membentangkan topik berkaitan akhlak Islam dan tasawwuf manakala Ustaz Shahrir Asraf bin Haji Azmi yang mengupas tajuk berkaitan akidah serta fiqh sembelihan dan korban.
Para peserta menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang sesi berlangsung dan diharapkan segala ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam perkhidmatan mereka di masjid kelak, selaras dengan matlamat memperkasa institusi masjid di Negeri Melaka.





- Published in AKTIVITI
Program Mufti Bersama Ummah sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR)
MASJID TANAH, 30 Mei – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menganjurkan Program Mufti Bersama Ummah sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) sebagai usaha mendekatkan institusi kefatwaan kepada masyarakat. Program yang berlangsung di Masjid Al-Muttaqin Masjid Tengah, Lendu itu dihadiri oleh lebih 500 orang penduduk setempat.
Dalam usaha menyantuni Mantan Pegawai Syarak Masjid, Tuan Haji Hazarudin bin Haji Hazarudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka berkesempatan menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan asas kepada Mantan Pegawai Syarak Masjid yang diuji dengan beberapa masalah kesihatan.
Sebagai pengisian ilmiah menjelang sambutan Aidiladha, sebuah forum berbentuk bual bicara bertemakan “Korban kerana Allah” telah menampilkan barisan panelis berwibawa iaitu Tuan Haji Hazarudin bin Haji Hazarudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Dr. Muhammad Hafiz bin Saleh, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka serta dimoderatorkan oleh Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmee, Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Melaka.
Program ini mendapat suntikan istimewa dengan kehadiran tetamu kehormat, YB Datuk Seri Utama (Dr.) Haji Sulaiman bin Md Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu yang sudi meluangkan masa bersama para jemaah dan barisan penceramah.





- Published in AKTIVITI
- 1
- 2