
TG. BIDARA, 10 Julai – Seramai 200 pelajar daripada 20 buah sekolah yang menyertai Sekolah-Sekolah Kelab Falak Negeri Melaka di bawah seliaan Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menyertai Bengkel Kelab Falak Dan Astronomi Siri 1/2025 Modul Penggunaan Takwim Hijri Dan Miladi Pada Masa Kini Peringkat Negeri Melaka bertempat di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara.
Bengkel sehari yang bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini mengetengahkan Modul Penggunaan Takwim Hijri dan Miladi Pada Masa Kini, selaras dengan usaha memperkukuh kefahaman pelajar terhadap sistem kalendar Islam dan penggunaannya dalam kehidupan seharian serta penyelarasan dengan kalendar Masihi.
Antara pengisian utama bengkel termasuk tiga slot pembentangan yang disampaikan oleh fasilitator jemputan, En. Razlan bin Ahmad, merangkumi topik Taklimat Penentapan Awal Bulan Islam di Malaysia, Kaedah Pembentukan Takwim Hijri dan Miladi di Malaysia dan Imkanur Rukyah: Kaedah Penetapan Awal Bulan Islam di Malaysia.
Majlis penutup bengkel telah disempurnakan oleh Tuan Shaifulfazlee Bin Mohamad, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka. Turut hadir memberikan sokongan dan semangat kepada para peserta ialah Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka.
Bengkel ini bukan sahaja memberi pendedahan teori dan praktikal kepada pelajar berkaitan ilmu falak, malah menjadi platform untuk menyemai minat mendalam terhadap kajian astronomi Islam sejak di bangku sekolah.




