
TG.BIDARA, 28 Feb – Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan bagi tahun 1446H/2025M telah diadakan di Balai Cerap Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara.
Terdahulu majlis dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka yang turut meluangkan masa mencerap anak bulan Ramadan.
Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Negeri Melaka yang diketuai oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Mufti Kerajaan Negeri Melaka telah melakukan cerapan hilal Ramadhan di Kompleks Falak Al-Khawarizmi pada petang Jumaat 29 Syaaban 1446H bersamaan 28 Februari 2025M dan telah melaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. Penyimpan Mohor Besar Raja-raja setelah menerima laporan dari semua negeri-negeri telah mengisytiharkan bahawa tarikh 1 Ramadan 1446H ditetapkan pada Ahad 2 Mac 2025M.




