
BUKIT PALAH, 8 September – Fenomena Gerhana Bulan Penuh Tahun 2025 yang berlaku pada jam 1.31 pagi sehingga fasa gerhana tamat pada 3.56 pagi telah disambut meriah oleh masyarakat setempat dalam satu program khas yang dianjurkan oleh Bahagian Falak Syarie, Jabatan Mufti Negeri Melaka bertempat di Dataran Al Azim.
Program yang berlangsung dari jam 11.00 malam hingga 4.00 pagi ini menarik kehadiran kira-kira 200 orang pelajar, selain pengunjung umum yang turut sama ingin menyaksikan keindahan ciptaan Allah SWT ini secara langsung.
Acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, yang juga berkesempatan hadir memberi sokongan terhadap usaha memperkasa ilmu falak dan kesedaran astronomi dalam kalangan masyarakat.
Antara pengisian utama program adalah aktiviti mencerap Gerhana Bulan Penuh, diikuti dengan Solat Sunat Khusuf dan Khutbah Gerhana yang telah dipimpin oleh Datuk Mohammad bin Hashim, Imam Besar Masjid Al-Azim







