
AYER LIMAU, 19 September – Sempena sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah, Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menganjurkan Forum Bicara Mufti bertemakan “Menghidupkan Sunnah, Menyuburkan Cinta”, bertempat di Masjid Raudhatul Solihin, Ayer Limau, Masjid Tanah.
Program dimulakan lebih awal dengan sesi Ziarah Kasih pada jam 6.30 petang, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka berkesempatan menyantuni beberapa keluarga di kawasan sekitar yang sedang diuji dengan masalah kesihatan. Inisiatif ini menggambarkan nilai empati dan kasih sayang yang selari dengan ajaran Rasulullah SAW.
Forum ilmiah ini menampilkan dua tokoh hebat sebagai panel iaitu Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Dr Mohamad Nazli bin Omar, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka serta Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmee, Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Melaka turut memainkan peranan sebagai moderator yang mengemudi forum dengan lancar dan penuh hikmah.
Penganjuran forum ini bukan sahaja berperanan memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, malah turut menjadi platform mendidik masyarakat tentang kepentingan menghidupkan sunnah dan menzahirkan cinta yang tulus kepada Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.



