
ALOR GAJAH, 31 Julai – Program Mufti Bersama Ummah dimulakan dengan sesi “Ziarah Kasih” yang berlangsung dari jam 6.30 petang hingga 7.15 petang di perkampungan berdekatan Masjid Khalid Al Walid, Kampung Ayer Pasir, Alor Gajah. Program ini diketuai oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka. Dalam program ini, beliau menyantuni penduduk setempat yang diuji dengan masalah kesihatan dan menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan kepada penerima terpilih sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang pihak Majlis Agama Islam Negeri Melaka terhadap golongan yang memerlukan.
Pada sebelah malamnya, program diteruskan dengan acara ilmiah utama iaitu berbentuk forum yang berlangsung di Masjid Khalid Al Walid bermula jam 8.00 malam hingga 11.00 malam. Forum yang bertemakan “Al-Quran Khazanah Umat Dunia Akhir Zaman” ini menampilkan dua panel jemputan terkemuka iaitu Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil dan Prof. Dr. Sidek bin Ariffin dengan Ustaz Abdul Mujib bin Othman bertindak sebagai moderator.
Forum ini memberi penekanan kepada peranan dan kepentingan Al-Quran sebagai sumber petunjuk dan kekuatan umat Islam dalam menghadapi cabaran global serta keruntuhan nilai di akhir zaman. Kupasan para panel turut memberi tumpuan kepada aspek penghayatan Al-Quran dalam kehidupan harian dan kepentingan mendidik generasi akan datang dengan asas Al-Quran yang kukuh.
Kehadiran masyarakat yang memberangsangkan sepanjang program ini membuktikan bahawa inisiatif seperti ini amat dialu-alukan serta memberi impak positif terhadap pembangunan sahsiah dan rohani umat Islam di Negeri Melaka.




