TG.KLING, 4 Oktober – Sempena sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M, Masjid At-Taqwa, Bukit Darat, Tanjung Kling telah menjadi lokasi penganjuran Program Bicara Mufti yang berlangsung pada hari Sabtu bermula jam 6.00 petang hingga 11.00 malam.
Forum yang bertemakan “Meneladani Akhlak Rasulullah SAW Dalam Membina Perpaduan” ini bertujuan memperkukuh kefahaman umat Islam terhadap peranan akhlak Nabi Muhammad SAW sebagai asas kepada perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.
Program istimewa ini menampilkan dua tokoh ilmuan terkemuka iaitu Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Datuk Haji Rahimin bin Bani, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka sebagai panel forum. Sesi perbincangan dikendalikan oleh Ustaz Rosmanizam bin Rosdi selaku moderator, yang berjaya menghidupkan suasana dengan kupasan yang mendalam serta interaktif bersama para hadirin.
Selain forum ilmiah, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil turut berkesempatan menyampaikan sumbangan berupa kit makanan kepada beberapa ahli qariah yang diuji dengan masalah kesihatan di kampung berhampiran. Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan, selari dengan semangat kasih sayang dan kebajikan yang diteladani daripada Rasulullah SAW.
Para pengunjung yang hadir memenuhi ruang masjid memberikan sambutan hangat dan menunjukkan minat mendalam terhadap kupasan isu-isu semasa berkaitan perpaduan dan nilai-nilai murni dalam kehidupan berasaskan sunnah Rasulullah SAW.
Program ini bukan sahaja mengangkat nilai-nilai keislaman, malah berjaya menyatukan masyarakat setempat dalam suasana penuh harmoni dan keinsafan sempena bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.





![]()



