MELAKA TENGAH, 27 November – Majlis Diskusi Fatwa & Penyerahan Tauliah Agama dan Al-Quran bagi Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada petang Khamis bertempat di Grand Swiss-Bell Hotel, Melaka. Program yang bermula pada jam 2.30 petang dan berakhir pada 5.30 petang itu berjaya menghimpunkan para pendakwah, asatizah serta pegawai agama dari seluruh negeri.
Majlis ini menampilkan penceramah jemputan, Ustaz Haji Ahmad Fahin bin Robani, yang membawakan ceramah bertajuk “Adab & Hikmah Dalam Penyampaian Ilmu dan Dakwah”. Beliau menekankan kepentingan akhlak, kesantunan dan kebijaksanaan sebagai teras penyampaian ilmu agar dakwah dapat diterima dengan lebih berkesan oleh masyarakat.
Acara kemuncak majlis ialah penyampaian tauliah agama yang disempurnakan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka. Seramai 40 penerima telah dianugerahkan tauliah bagi melayakkan mereka menjalankan tugas penyampaian ilmu agama dan pengajaran Al-Quran di negeri Melaka.
Program ini bukan sahaja menjadi platform ilmiah, malah berfungsi sebagai pengiktirafan rasmi kepada para pendakwah dan pengajar agama yang layak, sejajar dengan hasrat Jabatan Mufti Negeri Melaka dalam memperkukuh penyebaran ilmu secara beretika dan bermanfaat kepada masyarakat.





![]()



