kunjungan hormat daripada delegasi Mufti Kerajaan Negeri Kelantan
BUKIT PALAH, 10 Oktober – Jabatan Mufti Negeri Melaka hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Mufti Kerajaan Negeri Kelantan yang diketuai oleh Sahibus Samahah Dato’ Haji Mohamad Shukri bin Mohamad, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan.
Kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan silaturahim serta mempererat kerjasama antara kedua-dua jabatan dalam pelbagai aspek, khususnya dalam bidang fatwa, penyelidikan dan pembangunan ilmu falak serta pemerkasaan pendidikan kefatwaan.
Delegasi disambut mesra oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama pegawai-pegawai kanan Jabatan Mufti Negeri Melaka. Sesi perbincangan berlangsung di Bilik Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Melaka diikuti dengan sesi taklimat ringkas berkenaan struktur organisasi, fungsi serta inisiatif semasa yang dilaksanakan oleh jabatan.
Antara perkara yang dibincangkan termasuklah peluang kerjasama dalam pembangunan modul latihan fatwa, pertukaran kepakaran dalam penyelidikan ilmiah Islam serta perkongsian teknologi dan data dalam bidang falak syarie..
Kunjungan ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata sebagai tanda penghargaan dan kenangan antara kedua-dua pihak.
Jabatan Mufti Negeri Melaka merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kunjungan ini dan berharap agar jalinan kerjasama yang terjalin akan terus memberi manfaat kepada perkembangan institusi kefatwaan dan umat Islam secara amnya.




- Published in AKTIVITI
Seminar Pendidikan Fatwa Serantau Peringkat Negeri Melaka 2025M/1447H
MELAKA, 14 Oktober 2025 – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka telah menganjurkan Seminar Pendidikan Fatwa Serantau Peringkat Negeri Melaka 2025M/1447H bertempat di Auditorium Masjid Al-Azim, Melaka. Program ini diadakan bagi memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap institusi fatwa serta memperluas jaringan kerjasama antara negeri-negeri dan agensi Islam di rantau ini.
Seminar yang menghimpunkan para ilmuan agama, pegawai hal ehwal agama, ahli akademik serta pelajar pengajian Islam ini menampilkan beberapa pembentangan ilmiah berkaitan isu-isu semasa hukum dan kaedah penyampaian fatwa dalam era digital.
Melalui penganjuran ini, Jabatan Mufti Negeri Melaka akan terus komited menjadi platform ilmu yang menyatukan pandangan ulama serantau serta mengukuhkan kedudukan institusi fatwa sebagai rujukan utama umat Islam di negeri ini.






- Published in AKTIVITI
Bengkel Pembangunan Klasifikasi Fail Ke Arah Pelaksanaan DDMS 2.0
MELAKA, 8 Oktober 2025 – Bengkel Pembangunan Klasifikasi Fail ke Arah Pelaksanaan DDMS 2.0 ini bagi menyelaras serta memperkemaskan pengurusan rekod dan dokumen rasmi jabatan. Melalui bengkel ini, peserta diberi pendedahan dan panduan untuk membangunkan struktur klasifikasi fail yang sistematik, seragam dan menepati fungsi serta tanggungjawab jabatan masing-masing. Usaha ini merupakan langkah persediaan ke arah pelaksanaan Digital Document Management System (DDMS) 2.0, iaitu sistem pengurusan dokumen digital yang dibangunkan oleh JDN bagi mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan maklumat kerajaan.
Selain itu, bengkel ini turut bertujuan memastikan jabatan mematuhi piawaian dan tatacara yang ditetapkan oleh Arkib Negara Malaysia (ANM) dalam pengurusan rekod awam, di samping membantu peserta membezakan antara fail fungsian dan fail am secara teratur. Penganjuran bengkel ini juga menjadi platform penyelarasan antara bahagian dan unit supaya wujud keseragaman dalam penggunaan, penamaan serta penyimpanan fail sama ada dalam bentuk fizikal atau digital.
Secara keseluruhannya, bengkel ini berperanan penting dalam memperkukuh tadbir urus maklumat jabatan melalui pembangunan klasifikasi fail yang mantap, selaras dengan usaha transformasi pendigitalan pengurusan dokumen kerajaan menerusi pelaksanaan DDMS 2.0









- Published in AKTIVITI
𝐏elaksanaan Bacaan Doa Qunut Nazilah
Diseru kepada semua masjid dan surau di Negeri Melaka supaya melaksanakan bacaan Doa Qunut Nazilah. Seruan ini bertujuan agar kita bersama-sama memohon ke hadrat Allah SWT supaya dikurniakan keselamatan, perlindungan serta kejayaan kepada Pasukan Global Sumud Flotilla dalam misi kemanusiaan yang sedang dijalankan.
Firman Allah SWT:
وَإِنِ اسْتَنْصَرُوكُمْ فِي الدِّينِ فَعَلَيْكُمُ النَّصْرُ
Maksudnya: “Dan jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan membela) agama, maka wajiblah kamu memberikan pertolongan.” (Surah al-Anfāl: 72)
Sabda Rasulullah SAW:
«مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى»
Maksudnya: “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam kasih sayang, belas kasihan dan simpati mereka adalah seperti satu tubuh; apabila salah satu anggotanya sakit, maka seluruh tubuh turut merasakannya dengan berjaga malam dan demam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Semoga usaha dan doa kita diterima Allah SWT serta menjadi tanda kebersamaan umat Islam dalam menegakkan keadilan dan keamanan sejagat.


- Published in Uncategorized
Forum Bicara Mufti : Bertemakan “Membina Keluarga Bahagia Mengikut Sunnah” di Masjid As-Syakirin, Sungai Rambai, Melaka
SG RAMBAI, 20 September – Sempena Sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1447 H, Masjid As-Syakirin Sungai Rambai telah menjadi lokasi penganjuran Forum Bicara Mufti, satu program ilmiah yang mendapat sambutan dikalangan masyarakat setempat.
Bertemakan “Membina Keluarga Bahagia Mengikut Sunnah”, forum ini bertujuan memberi pencerahan tentang peranan dan tanggungjawab dalam institusi kekeluargaan berlandaskan sunnah Rasulullah SAW. Forum kali ini menampilkan dua panelis tersohor iaitu Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, dan Prof Madya Dr Muhammad Hafiz bin Salleh, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka dengan sesi dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmi, Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Melaka selaku moderator.
Para panelis telah menyampaikan kupasan yang mendalam mengenai konsep kebahagiaan rumahtangga dalam Islam, dengan menekankan kepentingan komunikasi, kasih sayang, dan teladan Rasulullah SAW dalam memimpin keluarga.
Lebih istimewa, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil turut meluangkan masa pada sebelah petang sebelum forum untuk menziarahi beberapa keluarga di kampung berhampiran yang sedang diuji dengan masalah kesihatan. Dalam kunjungan tersebut, beliau menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan asas sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada mereka yang memerlukan.
Kehadiran para jemaah yang memenuhi ruang solat utama masjid jelas membuktikan minat dan komitmen masyarakat dalam menimba ilmu serta mendekatkan diri kepada nilai-nilai Islam. Sesi forum turut diserikan dengan sesi soal jawab interaktif yang memberikan peluang kepada para hadirin untuk mengajukan persoalan secara langsung kepada panelis.
Program ini diharap dapat menjadi platform berterusan untuk memperkukuh kefahaman agama dan membina masyarakat yang harmoni berasaskan ajaran Islam yang syumul.





- Published in AKTIVITI
Forum Bicara Mufti bertemakan “Menghidupkan Sunnah, Menyuburkan Cinta”, bertempat di Masjid Raudhatul Solihin, Ayer Limau, Masjid Tanah.
AYER LIMAU, 19 September – Sempena sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah, Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menganjurkan Forum Bicara Mufti bertemakan “Menghidupkan Sunnah, Menyuburkan Cinta”, bertempat di Masjid Raudhatul Solihin, Ayer Limau, Masjid Tanah.
Program dimulakan lebih awal dengan sesi Ziarah Kasih pada jam 6.30 petang, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka berkesempatan menyantuni beberapa keluarga di kawasan sekitar yang sedang diuji dengan masalah kesihatan. Inisiatif ini menggambarkan nilai empati dan kasih sayang yang selari dengan ajaran Rasulullah SAW.
Forum ilmiah ini menampilkan dua tokoh hebat sebagai panel iaitu Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Dr Mohamad Nazli bin Omar, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka serta Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmee, Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Melaka turut memainkan peranan sebagai moderator yang mengemudi forum dengan lancar dan penuh hikmah.
Penganjuran forum ini bukan sahaja berperanan memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, malah turut menjadi platform mendidik masyarakat tentang kepentingan menghidupkan sunnah dan menzahirkan cinta yang tulus kepada Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.




- Published in AKTIVITI
Fenomena Gerhana Bulan Penuh Tahun 2025
BUKIT PALAH, 8 September – Fenomena Gerhana Bulan Penuh Tahun 2025 yang berlaku pada jam 1.31 pagi sehingga fasa gerhana tamat pada 3.56 pagi telah disambut meriah oleh masyarakat setempat dalam satu program khas yang dianjurkan oleh Bahagian Falak Syarie, Jabatan Mufti Negeri Melaka bertempat di Dataran Al Azim.
Program yang berlangsung dari jam 11.00 malam hingga 4.00 pagi ini menarik kehadiran kira-kira 200 orang pelajar, selain pengunjung umum yang turut sama ingin menyaksikan keindahan ciptaan Allah SWT ini secara langsung.
Acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, yang juga berkesempatan hadir memberi sokongan terhadap usaha memperkasa ilmu falak dan kesedaran astronomi dalam kalangan masyarakat.
Antara pengisian utama program adalah aktiviti mencerap Gerhana Bulan Penuh, diikuti dengan Solat Sunat Khusuf dan Khutbah Gerhana yang telah dipimpin oleh Datuk Mohammad bin Hashim, Imam Besar Masjid Al-Azim








- Published in AKTIVITI
Majlis Perhimpunan dan Perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka 1447/2025M
MELAKA, 5 September – Suasana penuh semangat dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW mewarnai Majlis Perhimpunan dan Perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka 1447/2025M yang berlangsung meriah di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, hari ini.
Seramai 6,227 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan institusi pendidikan menyertai perarakan sejauh empat kilometer, membabitkan 112 kontinjen dari seluruh negeri.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Dr. Asmah Ab Rahman turut berangkat menyertai perarakan, diiringi barisan kepimpinan negeri.
Turut mengambil bahagian dalam perarakan ialah Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kekuatan kontinjen seramai 25 orang, diketuai oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka.






- Published in AKTIVITI
Program Diskusi Fatwa dan Penyampaian Tauliah Agama & Al-Qur’an
BUKIT PALAH, 4 September – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menganjurkan satu program Diskusi Fatwa dan Penyampaian Tauliah Agama & Al-Qur’an bertempat di Mini Auditorium Masjid Al-Azim Negeri Melaka sebagai usaha berterusan memperkukuh penyampaian ilmu agama yang sahih dan berpandukan autoriti yang diiktiraf.
Program ini menghimpunkan lebih 60 peserta yang terdiri daripada pemegang tauliah sedia ada dan baharu dari seluruh negeri Melaka. Objektif utama penganjuran adalah untuk memperkemaskan kefahaman terhadap garis panduan tauliah, serta meningkatkan profesionalisme dalam penyampaian ilmu Al-Qur’an dan agama Islam kepada masyarakat.
Majlis dimulakan dengan sesi Diskusi Fatwa yang telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Hafiz Saleh, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka telah memberi penjelasan lanjut berkaitan isu-isu fatwa semasa.
Selepas itu, majlis telah dirasmikan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka yang dalam ucapan perasmiannya menekankan kepentingan tauliah sebagai satu bentuk kawal selia yang melindungi kesucian serta penyampaian ajaran Islam kepada masyarakat.
Dalam pada itu, Sahibus Samahah Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka turut berbesar hati menyampaikan sijil tauliah kepada lebih daripada 60 orang penerima Tauliah Agama & Al-Quran Negeri Melaka, sebagai pengiktirafan rasmi atas kelayakan dan komitmen mereka dalam menyampaikan ilmu agama secara bertauliah di negeri ini.”





- Published in AKTIVITI
Latihan Sistem e-Tasaulat Jabatan Mufti Negeri Melaka
KHAMIS , 14 Ogos 2025 – Satu sesi latihan bersama semua kakitangan Jabatan Mufti Negeri Melaka berkaitan penggunaan Sistem e-Tasaulat telah dijalankan di Bilik Mesyuarat Utama Jabatan ini. Latihan sistem ini bertujuan untuk memastikan pengguna memahami cara penggunaan sistem dengan betul, meningkatkan kecekapan pengurusan aduan, serta memastikan pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan. Ia juga membantu mengurangkan kesilapan, mempercepatkan tindak balas terhadap aduan, dan meningkatkan keyakinan pengguna dalam mengendalikan sistem. Secara keseluruhannya, latihan ini penting untuk menjamin keberkesanan dan kelancaran pengurusan aduan dan maklumbalas dalam sesebuah organisasi.



- Published in AKTIVITI