Program Bicara Mufti : “Meneladani Akhlak Rasulullah SAW Dalam Membina Perpaduan”
TG.KLING, 4 Oktober – Sempena sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M, Masjid At-Taqwa, Bukit Darat, Tanjung Kling telah menjadi lokasi penganjuran Program Bicara Mufti yang berlangsung pada hari Sabtu bermula jam 6.00 petang hingga 11.00 malam.
Forum yang bertemakan “Meneladani Akhlak Rasulullah SAW Dalam Membina Perpaduan” ini bertujuan memperkukuh kefahaman umat Islam terhadap peranan akhlak Nabi Muhammad SAW sebagai asas kepada perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.
Program istimewa ini menampilkan dua tokoh ilmuan terkemuka iaitu Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Datuk Haji Rahimin bin Bani, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka sebagai panel forum. Sesi perbincangan dikendalikan oleh Ustaz Rosmanizam bin Rosdi selaku moderator, yang berjaya menghidupkan suasana dengan kupasan yang mendalam serta interaktif bersama para hadirin.
Selain forum ilmiah, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil turut berkesempatan menyampaikan sumbangan berupa kit makanan kepada beberapa ahli qariah yang diuji dengan masalah kesihatan di kampung berhampiran. Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan, selari dengan semangat kasih sayang dan kebajikan yang diteladani daripada Rasulullah SAW.
Para pengunjung yang hadir memenuhi ruang masjid memberikan sambutan hangat dan menunjukkan minat mendalam terhadap kupasan isu-isu semasa berkaitan perpaduan dan nilai-nilai murni dalam kehidupan berasaskan sunnah Rasulullah SAW.
Program ini bukan sahaja mengangkat nilai-nilai keislaman, malah berjaya menyatukan masyarakat setempat dalam suasana penuh harmoni dan keinsafan sempena bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti : “Bersatu Hati, Membina Ummah: Teladan Dari Sirah Nabawiyyah”
DURIAN TUNGGAL, 2 Oktober – Program Bicara Ilmu Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Ar Rahman, Parit Melana, malam tadi. Program yang bertemakan “Bersatu Hati, Membina Ummah: Teladan Dari Sirah Nabawiyyah” itu berjaya menarik kehadiran jemaah yang merupakan penduduk kampung berhampiran.
Forum yang bermula pada jam 6.00 petang hingga 11.00 malam itu menampilkan dua tokoh ilmuwan terkenal sebagai panel, iaitu Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka. Sesi forum telah dikendalikan dengan penuh berhemah oleh Ustaz Muhammad Azheem Ikmal Bin Nor Azmi, Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Melaka selaku moderator.
Dalam forum tersebut, para panelis menyentuh pelbagai aspek penting daripada sirah Nabi Muhammad SAW yang dapat dijadikan panduan dalam usaha memperkukuhkan perpaduan ummah. Penekanan diberikan kepada nilai kasih sayang, tolak ansur, dan semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sepanjang perjuangan baginda dalam membina masyarakat Islam yang utuh dan berdaya tahan.
Menambahkan lagi makna dalam program ini, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil turut berkesempatan menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan kepada beberapa penduduk yang memerlukan di kawasan sekitar Masjid Ar Rahman. Inisiatif ini mencerminkan semangat kepedulian sosial yang selari dengan ajaran Islam dan nilai-nilai murni yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Para hadirin turut diberi peluang mengajukan soalan kepada panelis dalam sesi soal jawab yang berlangsung secara interaktif dan penuh ilmiah. Program ini bukan sahaja memberi pencerahan kepada jemaah, malah turut menyemarakkan semangat cintakan Rasulullah SAW dalam kalangan masyarakat setempat.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Datuk Zahari bin Abd Khalil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal yang turut meluangkan masa bersama penduduk setempat bagi memeriahkan lagi program ilmu ini.





![]()
- Published in AKTIVITI
Forum Bicara Mufti : Bertemakan “Membina Keluarga Bahagia Mengikut Sunnah” di Masjid As-Syakirin, Sungai Rambai, Melaka
SG RAMBAI, 20 September – Sempena Sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1447 H, Masjid As-Syakirin Sungai Rambai telah menjadi lokasi penganjuran Forum Bicara Mufti, satu program ilmiah yang mendapat sambutan dikalangan masyarakat setempat.
Bertemakan “Membina Keluarga Bahagia Mengikut Sunnah”, forum ini bertujuan memberi pencerahan tentang peranan dan tanggungjawab dalam institusi kekeluargaan berlandaskan sunnah Rasulullah SAW. Forum kali ini menampilkan dua panelis tersohor iaitu Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, dan Prof Madya Dr Muhammad Hafiz bin Salleh, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka dengan sesi dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmi, Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Melaka selaku moderator.
Para panelis telah menyampaikan kupasan yang mendalam mengenai konsep kebahagiaan rumahtangga dalam Islam, dengan menekankan kepentingan komunikasi, kasih sayang, dan teladan Rasulullah SAW dalam memimpin keluarga.
Lebih istimewa, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil turut meluangkan masa pada sebelah petang sebelum forum untuk menziarahi beberapa keluarga di kampung berhampiran yang sedang diuji dengan masalah kesihatan. Dalam kunjungan tersebut, beliau menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan asas sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada mereka yang memerlukan.
Kehadiran para jemaah yang memenuhi ruang solat utama masjid jelas membuktikan minat dan komitmen masyarakat dalam menimba ilmu serta mendekatkan diri kepada nilai-nilai Islam. Sesi forum turut diserikan dengan sesi soal jawab interaktif yang memberikan peluang kepada para hadirin untuk mengajukan persoalan secara langsung kepada panelis.
Program ini diharap dapat menjadi platform berterusan untuk memperkukuh kefahaman agama dan membina masyarakat yang harmoni berasaskan ajaran Islam yang syumul.





![]()
- Published in AKTIVITI
Forum Bicara Mufti bertemakan “Menghidupkan Sunnah, Menyuburkan Cinta”, bertempat di Masjid Raudhatul Solihin, Ayer Limau, Masjid Tanah.
AYER LIMAU, 19 September – Sempena sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah, Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menganjurkan Forum Bicara Mufti bertemakan “Menghidupkan Sunnah, Menyuburkan Cinta”, bertempat di Masjid Raudhatul Solihin, Ayer Limau, Masjid Tanah.
Program dimulakan lebih awal dengan sesi Ziarah Kasih pada jam 6.30 petang, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka berkesempatan menyantuni beberapa keluarga di kawasan sekitar yang sedang diuji dengan masalah kesihatan. Inisiatif ini menggambarkan nilai empati dan kasih sayang yang selari dengan ajaran Rasulullah SAW.
Forum ilmiah ini menampilkan dua tokoh hebat sebagai panel iaitu Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Dr Mohamad Nazli bin Omar, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka serta Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmee, Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Melaka turut memainkan peranan sebagai moderator yang mengemudi forum dengan lancar dan penuh hikmah.
Penganjuran forum ini bukan sahaja berperanan memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, malah turut menjadi platform mendidik masyarakat tentang kepentingan menghidupkan sunnah dan menzahirkan cinta yang tulus kepada Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.




![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti : “Rasulullah Ikon Kepimpinan Sepanjang Zaman”,
PENG.BATU, 17 September – Sempena sambutan Maulidur Rasul bagi Tahun 2025 Masihi bersamaan 1447 Hijrah ini, Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menganjurkan Program Bicara Mufti bertemakan “Rasulullah Ikon Kepimpinan Sepanjang Zaman”, bertempat di Masjid Nur As Saadah, Pengkalan Batu, Melaka.
Program yang berbentuk forum bual bicara itu menampilkan dua tokoh ilmuwan terkemuka iaitu Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, dan Dr Wan Ann Seng, Pendakwah. Turut mengemudi sesi sebagai moderator ialah Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmee, Pembantu Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Melaka.
Forum yang berlangsung dalam suasana penuh keinsafan dan penghayatan itu berjaya menarik perhatian para jemaah dengan kupasan mendalam mengenai sifat kepimpinan Rasulullah SAW yang relevan sepanjang zaman, serta bagaimana ia boleh dijadikan panduan oleh segenap lapisan masyarakat masa kini.
Selain pengisian ilmu, program ini turut diserikan dengan penyampaian sumbangan berbemtuk kit makanan oleh Datuk Wira Mufti kepada beberapa keluarga yang diuji dengan masalah kesihatan, sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada golongan yang memerlukan.
Program ini bukan sahaja dapat memperkukuh semangat cintakan Rasulullah SAW, malah menjadi wadah mempererat hubungan antara institusi agama dan masyarakat setempat.
Turut hadir Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali mengimarahkan majlis ilmu berkenaan.





![]()
- Published in AKTIVITI
Fenomena Gerhana Bulan Penuh Tahun 2025
BUKIT PALAH, 8 September – Fenomena Gerhana Bulan Penuh Tahun 2025 yang berlaku pada jam 1.31 pagi sehingga fasa gerhana tamat pada 3.56 pagi telah disambut meriah oleh masyarakat setempat dalam satu program khas yang dianjurkan oleh Bahagian Falak Syarie, Jabatan Mufti Negeri Melaka bertempat di Dataran Al Azim.
Program yang berlangsung dari jam 11.00 malam hingga 4.00 pagi ini menarik kehadiran kira-kira 200 orang pelajar, selain pengunjung umum yang turut sama ingin menyaksikan keindahan ciptaan Allah SWT ini secara langsung.
Acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, yang juga berkesempatan hadir memberi sokongan terhadap usaha memperkasa ilmu falak dan kesedaran astronomi dalam kalangan masyarakat.
Antara pengisian utama program adalah aktiviti mencerap Gerhana Bulan Penuh, diikuti dengan Solat Sunat Khusuf dan Khutbah Gerhana yang telah dipimpin oleh Datuk Mohammad bin Hashim, Imam Besar Masjid Al-Azim








![]()
- Published in AKTIVITI
Majlis Perhimpunan dan Perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka 1447/2025M
MELAKA, 5 September – Suasana penuh semangat dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW mewarnai Majlis Perhimpunan dan Perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka 1447/2025M yang berlangsung meriah di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, hari ini.
Seramai 6,227 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan institusi pendidikan menyertai perarakan sejauh empat kilometer, membabitkan 112 kontinjen dari seluruh negeri.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Dr. Asmah Ab Rahman turut berangkat menyertai perarakan, diiringi barisan kepimpinan negeri.
Turut mengambil bahagian dalam perarakan ialah Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kekuatan kontinjen seramai 25 orang, diketuai oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka.






![]()
- Published in AKTIVITI
Program Diskusi Fatwa dan Penyampaian Tauliah Agama & Al-Qur’an
BUKIT PALAH, 4 September – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menganjurkan satu program Diskusi Fatwa dan Penyampaian Tauliah Agama & Al-Qur’an bertempat di Mini Auditorium Masjid Al-Azim Negeri Melaka sebagai usaha berterusan memperkukuh penyampaian ilmu agama yang sahih dan berpandukan autoriti yang diiktiraf.
Program ini menghimpunkan lebih 60 peserta yang terdiri daripada pemegang tauliah sedia ada dan baharu dari seluruh negeri Melaka. Objektif utama penganjuran adalah untuk memperkemaskan kefahaman terhadap garis panduan tauliah, serta meningkatkan profesionalisme dalam penyampaian ilmu Al-Qur’an dan agama Islam kepada masyarakat.
Majlis dimulakan dengan sesi Diskusi Fatwa yang telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Hafiz Saleh, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka telah memberi penjelasan lanjut berkaitan isu-isu fatwa semasa.
Selepas itu, majlis telah dirasmikan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka yang dalam ucapan perasmiannya menekankan kepentingan tauliah sebagai satu bentuk kawal selia yang melindungi kesucian serta penyampaian ajaran Islam kepada masyarakat.
Dalam pada itu, Sahibus Samahah Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka turut berbesar hati menyampaikan sijil tauliah kepada lebih daripada 60 orang penerima Tauliah Agama & Al-Quran Negeri Melaka, sebagai pengiktirafan rasmi atas kelayakan dan komitmen mereka dalam menyampaikan ilmu agama secara bertauliah di negeri ini.”





![]()
- Published in AKTIVITI
Latihan Sistem e-Tasaulat Jabatan Mufti Negeri Melaka
KHAMIS , 14 Ogos 2025 – Satu sesi latihan bersama semua kakitangan Jabatan Mufti Negeri Melaka berkaitan penggunaan Sistem e-Tasaulat telah dijalankan di Bilik Mesyuarat Utama Jabatan ini. Latihan sistem ini bertujuan untuk memastikan pengguna memahami cara penggunaan sistem dengan betul, meningkatkan kecekapan pengurusan aduan, serta memastikan pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan. Ia juga membantu mengurangkan kesilapan, mempercepatkan tindak balas terhadap aduan, dan meningkatkan keyakinan pengguna dalam mengendalikan sistem. Secara keseluruhannya, latihan ini penting untuk menjamin keberkesanan dan kelancaran pengurusan aduan dan maklumbalas dalam sesebuah organisasi.



![]()
- Published in AKTIVITI
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bilangan 4 bagi Tahun 2025
SENAI, 3 Ogos – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bilangan 4 bagi Tahun 2025 yang berlangsung selama tiga hari, bermula 1 hingga 3 Ogos 2025 bertempat di Impiana Hotel Senai, Johor Bahru.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka merangkap Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka, dengan kehadiran penuh oleh barisan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada tokoh-tokoh ilmuwan, ahli akademik dan agamawan.
Mesyuarat ini diadakan bagi membincangkan isu-isu berkenaan hukum yang berbangkit dalam masyarakat Islam di Negeri Melaka, termasuklah cadangan fatwa baharu, penilaian terhadap perkembangan semasa serta semakan terhadap fatwa-fatwa sedia ada. Kesemua perbincangan dijalankan secara teliti dan berasaskan disiplin ilmu yang mantap, berpandukan prinsip Maqasid Syariah serta keperluan semasa umat Islam.





![]()
- Published in AKTIVITI










