Sesi Penandaan Nombor Kubur Digital di Tanah Perkuburan Hilir Kampung Pulau, Masjid Tanah
MASJID TANAH, 13 Disember – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah melaksanakan Sesi Penandaan Nombor Kubur Digital di Tanah Perkuburan Hilir Kampung Pulau, Masjid Tanah pada jam 8.30 pagi (Sabtu), selaras dengan seruan Kerajaan Negeri Melaka yang memperkenalkan sistem Kubur Digital pada Oktober 2025.
Pelaksanaan sistem ini bertujuan memodenkan pengurusan tanah perkuburan dengan setiap pusara dinomborkan dan direkod secara digital, sekali gus memudahkan waris serta generasi akan datang mengenal pasti dan menziarahi kubur ahli keluarga. Inisiatif ini menjadikan Melaka sebagai negeri perintis pertama di Malaysia, dengan Kampung Pulau dipilih sebagai lokasi perintis sebelum diperluaskan ke seluruh negeri secara berperingkat selepas kajian teknikal selesai.
Antara tujuan utama pelaksanaan Kubur Digital adalah untuk memudahkan pengesanan pusara, mengatasi kelemahan pengurusan tanah perkuburan tradisional, serta memperkenalkan sistem pengurusan yang lebih moden, sistematik dan lestari. Pelaksanaan ini juga dijangka memberi manfaat jangka panjang melalui pengurusan yang lebih telus serta memperkukuh kesejahteraan ummah dan kerjasama Islam serantau.




![]()
- Published in AKTIVITI
Program Sembang Santai & Majlis Penyerahan Sijil Penandaan Arah Kiblat Peringkat Negeri Melaka
AYER KEROH, 11 Disember 2025 — Program Sembang Santai & Majlis Penyerahan Sijil Penandaan Arah Kiblat Peringkat Negeri Melaka anjuran Bahagian Falak & Syarie, Jabatan Mufti Melaka (JMM) telah berlangsung dengan jayanya di Chamek Cafe, MiTC,Ayer Keroh.
Program yang bermula pada 2.30 petang hingga 5.00 petang itu menghimpunkan para pegawai masjid, institusi-institusi terlibat serta agensi kerajaan bagi menyertai sesi perkongsian santai berkaitan kepentingan penentuan arah kiblat yang tepat dalam pengurusan ibadah umat Islam.
Acara turut diserikan dengan Majlis Penyerahan Sijil Penandaan Arah Kiblat, sebagai pengiktirafan terhadap premis dan institusi yang telah menjalani proses penandaan arah kiblat secara rasmi oleh Bahagian Falak & Syarie Jabatan Mufti Negeri Melaka. Penyerahan sijil ini diadakan bagi memastikan standard ketepatan arah kiblat di seluruh Negeri Melaka sentiasa terpelihara.
Penganjuran program ini bukan sahaja memberi ruang interaksi antara pihak Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan masyarakat, tetapi juga memperkukuh kefahaman awam mengenai peranan ilmu falak dalam kehidupan seharian, khususnya dalam hal penentuan arah kiblat.





![]()
- Published in AKTIVITI
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil. 5/2025
MELAKA, 2 Disember 2025 – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil. 5/2025 (Sesi Petang) telah diadakan di Puteri Bay, Pantai Puteri dengan dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Negeri Melaka. Mesyuarat bermula pada jam 8.00 pagi dan berlangsung sehingga 5.00 petang.
Mesyuarat ini dianjurkan oleh Bahagian Fatwa dan Buhuth, Jabatan Mufti Negeri Melaka, yang menjadi sekretariat tetap dalam menyelaras perbincangan berkaitan hukum-hakam serta isu-isu Syariah yang dibangkitkan di peringkat negeri. Turut hadir ialah ahli-ahli jawatankuasa terdiri daripada pakar Syariah, wakil jabatan agama, serta agensi-agensi berkaitan.
Sepanjang sesi, pelbagai perkara penting dibincangkan merangkumi isu semasa, permohonan fatwa, serta penetapan pandangan hukum yang memerlukan penelitian terperinci. Mesyuarat ini turut memberi ruang kepada ahli jawatankuasa untuk berkongsi pandangan, meneliti hujah dan dalil, serta memastikan setiap keputusan dibuat secara berhati-hati berlandaskan nas dan maqasid Syariah.
Penganjuran mesyuarat ini menzahirkan komitmen Jabatan Mufti Negeri Melaka dalam memastikan penyelarasan hukum sentiasa diperkemas, seterusnya menjamin keberkesanan pentadbiran Syariah di negeri ini.



![]()
- Published in AKTIVITI
Kursus Peningkatan Ilmu Calon Pegawai Masjid Negeri Melaka Bil.3/2025
MELAKA, 2 Disember 2025 – Kursus Peningkatan Ilmu Calon Pegawai Masjid Negeri Melaka Bil. 3/2025 telah berlangsung dengan jayanya di Surau Ar-Reduan, Taman Semabok Perdana, hari ini. Program yang dianjurkan oleh Bahagian Fatwa dan Buhuth, Jabatan Mufti Negeri Melaka ini diadakan bertujuan memperkukuh pengetahuan, kemahiran serta kefahaman calon pegawai masjid dalam melaksanakan tanggungjawab mereka secara berkesan dan berintegriti.
Kursus yang bermula pada jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang itu menghimpunkan para peserta yang bakal memikul amanah besar dalam pengurusan dan pentadbiran masjid di seluruh Negeri Melaka. Sepanjang sesi, para peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian ilmiah merangkumi aspek pengurusan masjid, kefahaman hukum hakam, etika penyampaian ilmu, serta peranan mereka dalam memperkasakan institusi masjid sebagai pusat ilmu dan pembangunan masyarakat.
Penganjuran kursus ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan dalam memastikan setiap pegawai masjid dilengkapi ilmu, kompetensi dan pemahaman yang tepat, selaras dengan kehendak syarak serta keperluan semasa.
Program diakhiri dengan sesi soal jawab dan perbincangan bersama penceramah bagi memberi ruang kepada peserta mendapatkan pencerahan lanjut berkaitan tugasan dan peranan mereka





![]()
- Published in AKTIVITI
Kunjungan Hormat YB Datuk Mohd Noor Helmy
BUKIT PALAH, 3 Disember – YB Datuk Mohd Noor Helmy hari ini telah mengadakan kunjungan hormat di dalam satu pertemuan bersama Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka. Sesi yang berlangsung pada jam 9.00 pagi itu diadakan di Pejabat Mufti Negeri Melaka.
Kunjungan tersebut bertujuan membincangkan pelbagai peluang kerjasama antara Pejabat Mufti Negeri Melaka dan Japerun DUN Duyong, khususnya melibatkan program-program berbentuk keagamaan, kemasyarakatan serta pembangunan modal insan.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai usaha memperkasakan kefahaman agama dalam kalangan masyarakat setempat melalui program yang lebih tersusun dan berimpak tinggi. Perbincangan turut menjurus kepada pelaksanaan program bersama yang memberi manfaat kepada komuniti DUN Duyong dan negeri secara amnya.





![]()
- Published in AKTIVITI
Majlis Diskusi Fatwa & Penyerahan Tauliah Agama dan Al-Quran bagi Tahun 2025
MELAKA TENGAH, 27 November – Majlis Diskusi Fatwa & Penyerahan Tauliah Agama dan Al-Quran bagi Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada petang Khamis bertempat di Grand Swiss-Bell Hotel, Melaka. Program yang bermula pada jam 2.30 petang dan berakhir pada 5.30 petang itu berjaya menghimpunkan para pendakwah, asatizah serta pegawai agama dari seluruh negeri.
Majlis ini menampilkan penceramah jemputan, Ustaz Haji Ahmad Fahin bin Robani, yang membawakan ceramah bertajuk “Adab & Hikmah Dalam Penyampaian Ilmu dan Dakwah”. Beliau menekankan kepentingan akhlak, kesantunan dan kebijaksanaan sebagai teras penyampaian ilmu agar dakwah dapat diterima dengan lebih berkesan oleh masyarakat.
Acara kemuncak majlis ialah penyampaian tauliah agama yang disempurnakan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka. Seramai 40 penerima telah dianugerahkan tauliah bagi melayakkan mereka menjalankan tugas penyampaian ilmu agama dan pengajaran Al-Quran di negeri Melaka.
Program ini bukan sahaja menjadi platform ilmiah, malah berfungsi sebagai pengiktirafan rasmi kepada para pendakwah dan pengajar agama yang layak, sejajar dengan hasrat Jabatan Mufti Negeri Melaka dalam memperkukuh penyebaran ilmu secara beretika dan bermanfaat kepada masyarakat.





![]()
- Published in AKTIVITI
Kunjungan Hormat Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ke Jabatan Mufti Negeri Melaka
TG.BIDARA, 25 November – ACP Noor Imran bin Abdul Rahman, Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka yang baharu dilantik telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Mufti Negeri Melaka bagi memperkenalkan diri secara rasmi serta memperkukuhkan hubungan kerjasama antara kedua-dua agensi.
Kunjungan tersebut disambut oleh Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil bersama barisan pegawai jabatan. Pertemuan berlangsung dalam suasana mesra dan penuh profesionalisme, melibatkan perbincangan mengenai beberapa isu semasa termasuk keselamatan negeri, keharmonian masyarakat, serta peranan institusi agama dalam memupuk kestabilan sosial.
Menurut Ketua Cawangan Khas IPK Melaka, lawatan ini bertujuan memperkukuh jaringan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Mufti Negeri Melaka dalam menangani cabaran keselamatan yang berkaitan dengan sensitiviti agama serta memastikan usaha pencegahan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Kunjungan berakhir dengan sesi bergambar kenangan dan pertukaran cenderamata sebagai simbol hubungan kerja yang terus terjalin kukuh antara kedua-dua pihak.




![]()
- Published in AKTIVITI
Majlis Penyerahan Sijil Penandaan Arah Kiblat di Birkin Hotel, Melaka
KLEBANG, 21 November — Jabatan Mufti Negeri Melaka meneruskan komitmen dalam memastikan ketepatan arah kiblat di premis-premis awam dengan menganjurkan Majlis Penyerahan Sijil Penandaan Arah Kiblat bertempat di Birkin Hotel, Melaka.
Majlis bermula dengan aktiviti cerapan Jamadilakhir 1447H dilaksanakan di balkoni suite, aras 37 yang menghadap ufuk Barat Hotel. Aktiviti cerapan ini bertujuan memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang kepentingan mencerap hilal serta mendedahkan kpd mereka tentang proses kerja untuk mencerap hilal menggunakan perlatan teleskop dan alatukur bagi memastikan Takwim Hijri yang dihisab menepati Kriteria Imkan al-Rukyah semasa.
Selain itu, pihak Jabatan Mufti telah berjaya membuat semakan dan tandaan arah kiblat di 579 bilik menggunakan kaedah bayang matahari dan alatukur moden Total Station di setiap sudut bangunan hotel. Ini menjadikan Birkin International Hotel sebagai sebuah hotel yang mesra Muslim dan orang awam.
Majlis disempurnakan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, yang juga menyerahkan Sijil Penandaan Arah Kiblat kepada pihak pengurusan Birkin Hotel sebagai pengiktirafan rasmi bahawa premis berkenaan telah melaksanakan sepenuhnya semakan dan tandaan arah kiblat.
Ini dilihat penting dalam meningkatkan keselesaan dan keyakinan pelancong Muslim yang menginap di hotel tersebut.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Forum Bicara Mufti Sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Durian Tunggal
DURIAN TUNGGAL, 5 November – Program Forum Bicara Mufti Sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Durian Tunggal telah berlangsung meriah di Masjid Ar Rahmah, Kampung Pancor, bermula jam 6.00 petang hingga 11.00 malam.
Forum bertemakan “Masjid Makmur, Ummah Sejahtera” itu turut dihadiri oleh YB Datuk Zahari Abd Kalil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh peranan masjid dalam membina masyarakat Islam yang sejahtera.
Program menampilkan dua panel jemputan iaitu Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Tuan Haji Hairul Amin bin Madon, Pegawai Khas Agama kepada Ketua Menteri Melaka dengan Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmi, Pembantu Hal Ehwal Islam Agama Jabatan Mufti Negeri Melaka sebagai moderator. Para panelis menekankan kepentingan memakmurkan masjid sebagai pusat ilmu, perpaduan dan kebajikan ummah.
Dalam majlis tersebut, Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin turut menyampaikan sumbangan kit makanan kepada beberapa penerima yang memerlukan, sebagai simbol keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
Program yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat ini berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin, institusi masjid dan masyarakat setempat selaras dengan konsep Wakil Rakyat Untuk Rakyat.





![]()
- Published in AKTIVITI
Lawatan Sambil Belajar Sek. Keb. Paya Kemunting, Kedah Ke Kompleks Al-Khawarizmi
Melaka, 11 November 2025 – Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menerima kunjungan seramai 44 orang pelajar dan guru pengiring dari Sekolah Kebangsaan Paya Kemunting, Kedah bagi mengikuti aktiviti cerapan langit malam.
Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai ilmu falak dan kaedah cerapan objek langit menggunakan peralatan teleskop moden yang terdapat di kompleks tersebut. Para peserta berpeluang menyaksikan sendiri fenomena langit seperti bulan, planet, dan bintang sambil diberi penerangan oleh pegawai falak bertugas.
Program sebegini diharap dapat menanam minat pelajar terhadap bidang sains dan astronomi Islam, di samping memperkukuh kefahaman tentang kebesaran ciptaan Allah SWT melalui pemerhatian alam semesta.
Jabatan Mufti Negeri Melaka terus komited menjadikan Kompleks Falak Al-Khawarizmi sebagai pusat rujukan ilmu falak dan destinasi pendidikan astronomi Islam di peringkat kebangsaan.



![]()
- Published in AKTIVITI










