ALOR GAJAH, 14 Disember – Program Bicara Mufti anjuran Bahagian Fatwa & Buhuth, Jabatan Mufti Negeri Melaka telah berlangsung dengan jayanya pada hari Ahad bertempat di Masjid Al Hidayah, Simpang Ampat, Alor Gajah, bermula jam 6.00 petang hingga 11.00 malam.
Program yang mengangkat tajuk “Solat Penawar Bagi Hati” ini bertujuan memberi pencerahan serta penghayatan mendalam kepada masyarakat tentang peranan solat dalam membentuk ketenangan jiwa, memperkukuh keimanan dan menjadi terapi rohani dalam mendepani cabaran kehidupan masa kini.
Forum ini menampilkan dua orang panel berwibawa iaitu Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Dr Mohamad Nazli bin Omar, Ahli Jawatnkuasa Fatwa Negeri Melaka manakala sesi perbincangan dikendalikan oleh Ustaz Shahrir Asraf bin Datuk Haji Azmi, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Negeri Melaka selaku moderator.
Majlis dimulakan dengan sesi ziarah kasih oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil ke rumah penduduk sekitar yang baru kehilangan ahli keluarga tersayang sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral terhadap masyarakat setempat. Sesi tersebut mencerminkan nilai rahmah dan kepimpinan berteraskan kasih sayang yang menjadi teras perkhidmatan institusi mufti.
Sepanjang program, para panel menekankan kepentingan menjaga kualiti solat sebagai asas pembentukan hati yang tenang, sabar dan istiqamah, selain mengajak masyarakat menjadikan solat sebagai medium mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada jemaah setempat serta masyarakat sekitar dan diharap dapat memberi manfaat berpanjangan dalam memperkukuh kefahaman dan penghayatan ibadah solat dalam kehidupan seharian.




![]()



