
BUKIT PALAH, 13 Feb – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah mengadakan Program Daurah Perdana & Pengijazahan Kitab Aqidah “Al-Kharidah Al-Bahiyyah’ yang telah dibimbing oleh Fadhilatu Syeikh Dr. Muhammad Sayyid Al-Hanbali Al-Azhari Hafizahullah bertempat di Auditorium Masjid Al- Azhim.
Program Daurah dan Pengijazahan Kitab Akidah Al-Kharidah Al-Bahiyyah ini merupakan inisiatif yang bertepatan dengan aspirasi Kerajaan Negeri Melaka dalam melahirkan masyarakat yang berpegang teguh kepada dasar dan teras Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
Program ini mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan seramai 400 peserta yang mempunyai asas dalam Bahasa Arab dan kemahiran itu membantu mereka memahami isi kandungan kitab dengan lebih mendalam serta menghayati hikmah dan inti pati ajaran yang disampaikan oleh Fadhilatu Syeikh.
Dimaklumkan pihak penganjur menyediakan bantuan terjemahan daripada suara kepada teks dalam Bahasa Melayu menerusi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memudahkan penyampaian dan pemahaman dalam kalangan peserta yang kurang mahir dalam Bahasa Arab.
Yang Berhormat Datuk Haji Rosli bin Abdullah, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi Dan Hal Ehwal Agama telah merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Daurah Perdana dan Pengijazahan Kitab Akidah Al-Kharidah Al-Bahiyyah’ bersama Syeikh Dr. Muhammad Sayyid Al-Hanbali Al-Azhari bagi Peringkat Negeri Melaka diiringi Sahibus Samahah Datuk wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka.