MASJID TANAH, 13 Disember – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah melaksanakan Sesi Penandaan Nombor Kubur Digital di Tanah Perkuburan Hilir Kampung Pulau, Masjid Tanah pada jam 8.30 pagi (Sabtu), selaras dengan seruan Kerajaan Negeri Melaka yang memperkenalkan sistem Kubur Digital pada Oktober 2025.
Pelaksanaan sistem ini bertujuan memodenkan pengurusan tanah perkuburan dengan setiap pusara dinomborkan dan direkod secara digital, sekali gus memudahkan waris serta generasi akan datang mengenal pasti dan menziarahi kubur ahli keluarga. Inisiatif ini menjadikan Melaka sebagai negeri perintis pertama di Malaysia, dengan Kampung Pulau dipilih sebagai lokasi perintis sebelum diperluaskan ke seluruh negeri secara berperingkat selepas kajian teknikal selesai.
Antara tujuan utama pelaksanaan Kubur Digital adalah untuk memudahkan pengesanan pusara, mengatasi kelemahan pengurusan tanah perkuburan tradisional, serta memperkenalkan sistem pengurusan yang lebih moden, sistematik dan lestari. Pelaksanaan ini juga dijangka memberi manfaat jangka panjang melalui pengurusan yang lebih telus serta memperkukuh kesejahteraan ummah dan kerjasama Islam serantau.




![]()



