BUKIT BARU, 16 Disember – Masjid Al Ehsan,Bukit Baru menjadi tumpuan masyarakat setempat apabila berlangsungnya Program Bicara Mufti anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka bermula jam 6.00 petang hingga 11.00 malam, menghimpunkan para jemaah untuk menghayati perbincangan ilmiah berkaitan cabaran semasa dunia digital dari perspektif Islam.
Program ini telah diserikan dengan forum bertajuk “Mendepani Cabaran Dunia Digital: Bijak Media, Selamat Akhlak” yang menampilkan Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka sebagai panel forum. Sesi perbincangan tersebut telah dikendalikan oleh Ustaz Rosmanizam bin Rosdi selaku moderator.
Turut hadir memeriahkan program ialah YB Tuan Haji Adly bin Zahari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, yang menunjukkan sokongan terhadap penganjuran program berbentuk ilmu dan kerohanian dalam kalangan masyarakat setempat.
Perbincangan forum memberi penekanan terhadap kepentingan kebijaksanaan dalam penggunaan media digital agar selari dengan nilai-nilai Islam serta berupaya memelihara akhlak, khususnya dalam mendepani pengaruh teknologi dan media sosial yang semakin mencabar.
Selain pengisian forum, program ini turut diisi dengan aktiviti Ziarah Kasih yang disempurnakan oleh Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil. Beliau berkesempatan menziarahi beberapa penduduk kampung berhampiran serta menyampaikan sumbangan berupa kit makanan sebagai tanda keprihatinan dan usaha mendekati masyarakat.





![]()



