TG.BIDARA, 19 Mac – Menjelang penghujung Ramadan yang penuh barakah ini, tumpuan seluruh rakyat Melaka kini terarah ke Balai Cerap Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka. Jabatan Mufti Negeri Melaka telah mengadakan Majlis Cerapan Rasmi Hilal Syawal bagi tahun 1447H/2026M di lokasi Cerapan rasmi tersebut pada petang tadi.
Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr.Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam; Yang di-Pertua Negeri Melaka bersama Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Negeri Melaka berkenan menghadiri Majlis Cerapan Hilal Syawal 1447H/2026M tersebut.
Sukacita dimaklumkan Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri Melaka yang diketuai oleh Sahibus Samahah Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin telah melakukan cerapan Hilal Syawal di Balai Cerap Al- Khawarizmi, Tanjung Bidara pada petang Khamis 19 Mac 2026M bersamaan 29 Ramadan 1447H dan melaporkan telah melakukan cerapan Hilal di lokasi mencerap Hilal Negeri Melaka kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Penyimpan Mohor Besar Raja-raja setelah menerima laporan dari semua 29 lokasi telah mengisytiharkan tarikh 1 Syawal 1447H adalah pada Sabtu 21 Mac 2026.
Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin juga turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di Negeri Melaka khususnya dan Malaysia amnya.





![]()



