PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG MENGENAI MUFTI DAN FATWA

  1. Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Pihak Berkuasa Negeri, selepas berunding dengan Majlis, boleh melantik mana-mana orang yang layak dan sesuai menjadi Mufti dan Timbalan Mufti bagi Negeri Melaka.
  2. Pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti hendaklah disiarkan dalam Warta.
  3. Apabila seksyen ini mula berkuat kuasa, orang yang menjadi Mufti dan Timbalan Mufti bagi Negeri Melaka sebaik sebelum seksyen ini mula berkuat kuasa hendaklah disifatkan telah dilantik di bawah seksyen ini sebagai Mufti dan Timbalan Mufti bagi Negeri Melaka dan hendaklah terus memegang jawatan itu.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka ditubuhkan di bawah Seksyen 34, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002. Jawatankuasa ini dianggotai oleh sekurang-kurangnya 7 orang dan tidak lebih daripada 12 orang terdiri daripada:-
  1. Mufti sebagai Pengerusi;
  2. Timbalan Mufti;
  3. Dua orang anggota Majlis yang dinamakan oleh Majlis;
  4. Tidak kurang daripada dua orang dan tidak lebih daripada tujuh orang yang layak dan sesuai yang dilantik oleh Majlis;
  5. Seorang pegawai daripada Jabatan Mufti yang dilantik oleh Majlis, sebagai Setiausaha.

Jawatankuasa Fatwa hendaklah, atas perintah Yang di-Pertuan Agong, dan bolehlah atas kehendaknya sendiri atau permintaan oleh mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang dialamatkan kepada Mufti, menyediakan fatwa atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan kontroversi yang berhubungan dengan hukum syarak.

  1. Sebelum Jawatankuasa Fatwa membuat sesuatu fatwa, Mufti boleh menyebabkan supaya kajian atau penyelidikan dijalankan sebagaimana yang diarahkan olehnya dan suatu kertas kerja disediakan.
  2. Bilamana Jawatankuasa bercadang untuk membuat fatwa, Mufti hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa Fatwa bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu.
  3. Selepas fatwa disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa, Mufti hendaklah bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, mengemukakan fatwa yang disediakan itu kepada Majlis.
  4. Majlis boleh selepas menimbang teliti fatwa itu, membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenannya bagi penyiaran warta itu dalam Warta.
  5. Syor yang dibuat hendaklah disertakan dengan memorandum penjelasan dan ulasan daripada Majlis jika Majlis berpendapat penjelasan dan ulasan itu perlu.
  6. Apabila fatwa itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Majlis hendaklah memaklumkan kepada Kerajaan Negeri tentang fatwa itu dan sesudah itu hendaklah menyebabkan fatwa itu disiarkan dalam Warta.
  7. Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan penyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.
  8. Sesuatu fatwa hendaklah disiarkan dalam bahasa kebangsaan dalam tulisan rumi, tetapi teks fatwa itu dalam tulisan jawi boleh juga disiarkan.
  9. Apa-apa penyataan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa tidak boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika penyataan itu disiarkan dalm Warta.

  1. Apabila disiarkan dalam Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang berada di Negeri Melaka sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipan di sisi agama untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu, melainkan dia dibenarkan oleh Hukum Syarak untuk tidak mengikut fatwa itu, dalam apa-apa perkara peribadi.
  2. Sesuatu fatwa hendaklah diiktiraf oleh semua mahkamah di dalam Negeri Melaka tentang semua perkara yang dinyatakan dalamnya.

  1. Jawatankuasa boleh meminda, mengubahsuai atau membatalkan mana-mana fatwa yang telah disiarkan dalam Warta di bawah Enakmen ini atau di bawah Enakmen terdahulu.
  2. Sesuatu pindaan, ubahsuai atau pembatalan sesuatu fatwa hendaklah disifatkan sebagai suatu fatwa.

Jika mana-mana mahkamah selain Mahkamah Syariah apa-apa persoalan Hukum Syarak perlu diputuskan, mahkamah itu boleh meminta pandapat Jawatankuasa Fatwa tentang persoalan itu, dan Mufti boleh memperakukan pendapat Jawatankuasa Fatwa itu kepada mahkamah yang membuat permintaan itu.

  1. Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa, atau memperakukan sesuatu pendapat Jawatankuasa Fatwa hendaklah pada lazimnya mengikut qaul muktamad (pendapat-pendapat yang diterima) Mazhab Syafie.
  2. Jika Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie suatu keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam akan terhasil, Jawatankuasa Fatwa bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hambali.
  3. Jika Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa tiada satu pun qaul muktamad daripada empat mazhab itu boleh diikuti tanpa membawa keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Jawatankuasa Fatwa bolehlah membuat fatwa itu mengikut ijtihad tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada mana-mana mazhab yang empat itu.

TOP Skip to content