AYER MOLEK, 6 Mei – Masjid Al-Mukmin, Kampung Bukit Durian menjadi lokasi pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Molek yang menghimpunkan masyarakat setempat dalam pengisian berteraskan dakwah, kebajikan dan kemasyarakatan.
Program tersebut turut dihadiri YB Datuk Rahmad bin Mariman, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka merangkap ADUN Ayer Molek bersama wakil Jabatan Mufti Negeri Melaka serta jawatankuasa masjid, yang turut menyantuni penduduk menerusi sesi ziarah kasih ke tiga buah rumah melibatkan individu yang diuji dengan masalah kesihatan sebagai manifestasi keprihatinan dan kebersamaan terhadap masyarakat setempat.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ceramah agama bertajuk “Penghayatan Ibadah Haji dan Aidiladha Dalam Membentuk Insan Bertakwa” yang telah disampaikan oleh Datuk Haji Rahimin bin Bani, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka.
Turut berlangsung ialah penyampaian kit makanan kepada tujuh penerima daripada kariah Masjid Al-Mukmin selain penyampaian cenderahati kepada penceramah dan pihak masjid.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat terus memperkukuh hubungan antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat di samping menyemarakkan budaya dakwah dan kebajikan dalam komuniti setempat.





![]()



