SUNGAI RAMBAI, 10 Julai – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menganjurkan Program Bicara Mufti sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bertempat di Masjid Ar-Riduan, Parit Penghulu, semalam.
Program bertajuk “Media Sosial: Antara Dakwah, Fitnah dan Tanggungjawab” ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai etika dan cabaran pengurusan maklumat di alam siber. Sesi forum tersebut menampilkan Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Sahibus Samahah Datuk Wira Hj Abdul Halim bin Tawil (Panel 1) dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka, YBhg. Ustaz Nor Amali @ Muhammad Dhiya’uddin bin Ab Rahim Al-Hafiz (Panel 2), dengan dikemudikan oleh Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmee selaku moderator.
Dalam kupasan program, Datuk Wira Hj Abdul Halim mengingatkan masyarakat tentang kepentingan prinsip ‘tabayyun’ iaitu menyaring kesahihan sesuatu berita sebelum dikongsi. Sementara itu, Ustaz Nor Amali menekankan agar media sosial dimanfaatkan sebagai medium dakwah yang positif serta menggesa netizen menjauhi bahaya fitnah digital.
Selain pengisian ilmu, program turut diserikan dengan aktiviti kemasyarakatan apabila Sahibus Samahah Datuk Wira Hj Abdul Halim bin Tawil meluangkan masa turun padang menyantuni penduduk kampung berhampiran yang sedang diuji dengan masalah kesihatan.
Program ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk setempat. Jabatan Mufti Negeri Melaka merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan Masjid Ar-Riduan, kepimpinan dan seluruh urus setia yang menjayakan program ini.





![]()



