UMBAI, 3 Julai – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah berjaya menganjurkan Program Bicara Mufti Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Dun Serkam bertempat di Masjid Al-Alim, Paya Tanjung, Umbai, semalam.
Program dimulakan seawal jam 6.30 petang dengan aktiviti Ziarah Kasih oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, yang menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada tiga buah rumah penduduk kampung berhampiran.
Selesai solat Maghrib berjemaah, program diteruskan dengan Forum Bicara Mufti bertajuk “Memperkukuh Institusi Kekeluargaan Melalui Panduan Syariah” yang menampilkan Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Melaka selaku dan Datuk Hj. Mohammad bin Hashim, Imam Besar Masjid Al-Azhim selaku panel, manakala Ustaz Rosmanizam bin Rosdi, Guru Pendidikan Islam SMK Krubong bertindak sebagai moderator. Forum tersebut mengupas secara mendalam peranan panduan Syariah dalam membina keluarga yang harmoni dan berkat.
Bagi menyuburkan semangat keprihatinan, majlis turut diserikan dengan penyampaian Kit Makanan kepada tujuh orang penerima dalam kalangan ahli kariah masjid, diikuti pemyampaian cenderahati antara Jabatan Mufti Negeri Melaka dan pihak pengurusan Masjid Al-Alim.





![]()



