Program Iftar Ramadan dan Cerapan Gerhana Bulan Penuh Peringkat Negeri Melaka 1447H/2026M
KRUBONG, 3 Mac – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Masjid Al-Muttaqin Negeri Melaka (Masjid Cina) dan Majlis Agama Islam Melaka telah menganjurkan Program Iftar Ramadan dan Cerapan Gerhana Bulan Penuh Peringkat Negeri Melaka 1447H/2026M.
Program yang berlangsung di Masjid Cina Negeri Melaka itu menghimpunkan barisan kepimpinan negeri, agensi agama serta masyarakat setempat bagi mengimarahkan program ini di samping menghayati fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku pada malam berkenaan.
Majlis bermula seawal jam 6.00 petang dengan ketibaan dan pendaftaran peserta, diikuti ketibaan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali bin Mohd Rustam hadir untuk menyaksikan fenomena gerhana ini berlaku.
Pengisian ilmiah bertajuk Ibrah Fenomena Gerhana Bulan Penuh telah disampaikan oleh YBhg. Dr. Hj. Kassim bin Hj. Bahali, Ahli Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri Melaka. Dalam pembentangannya, beliau menjelaskan hikmah serta tuntutan syarak berkaitan fenomena gerhana, termasuk galakan menunaikan solat sunat gerhana sebagai tanda kebesaran Allah SWT.
Para hadirin kemudiannya berbuka puasa sebelum menyertai sesi cerapan gerhana bulan penuh pada jam 7.21 malam sehingga 9.17 malam. Fasa Maksimum Gerhana Bulan Penuh telah bermula jam 7.33 malam. Program diteruskan dengan solat Maghrib secara berjemaah, diikuti solat sunat gerhana dan khutbah gerhana.
Majlis pada malam itu turut diimarahkan dengan solat Isyak dan solat sunat Terawih secara berjemaah serta diakhiri dengan jamuan moreh.
Penganjuran program seumpama ini dilihat bukan sahaja mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat, malah meningkatkan kefahaman umat Islam mengenai fenomena astronomi dari perspektif syariah, selaras dengan peranan institusi agama dalam memperkasa ilmu falak dan penghayatan ibadah sepanjang Ramadan.





![]()
- Published in AKTIVITI
Majlis Amanat Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2026
JANDA BAIK , 23 Jan — Majlis Amanat Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya sempena Kursus Pembentukan Insan Cemerlang dan Kerja Berpasukan Jabatan Mufti Melaka Tahun 2026 yang diadakan di Anjung Janda Resort, Janda Baik, Pahang.
Majlis ini menghimpunkan warga Jabatan Mufti Negeri Melaka dalam usaha memperkukuh nilai kerohanian, integriti serta semangat kerja berpasukan selaras dengan aspirasi jabatan bagi tahun 2026. Program ini turut menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan sesama warga kerja di samping meningkatkan kefahaman terhadap peranan dan tanggungjawab masing-masing.
Dalam ucapan amanat Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil menegaskan kepentingan pembentukan jati diri yang cemerlang, penghayatan nilai amanah serta keikhlasan dalam melaksanakan tugas sebagai penjawat awam dan penjaga kepentingan agama Islam. Beliau turut menyeru agar setiap warga Jabatan Mufti Negeri Melaka sentiasa mengamalkan budaya kerja berpasukan, saling menghormati serta komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Majlis ini turut disertakan dengan Sesi Menandatangani Perakuan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) oleh para pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Melaka. Sesi ini bertujuan meningkatkan kesedaran serta memperkukuh komitmen semua warga kerja terhadap tanggungjawab menjaga kerahsiaan maklumat dan dokumen rasmi kerajaan, sejajar dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Penandatanganan perakuan tersebut mencerminkan kesungguhan Jabatan Mufti Melaka dalam memastikan tadbir urus yang baik, berintegriti dan berakauntabiliti, selain mengelakkan sebarang pelanggaran yang boleh menjejaskan kepentingan jabatan dan kerajaan negeri.





![]()
- Published in AKTIVITI
Kunjungan Hormat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ke Jabatan Mufti Negeri Melaka
BUKIT PALAH, 14 Januari – Delegasi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Mufti Negeri Melaka bertempat di Pusat Islam Melaka, pada jam 2.30 petang.
Rombongan MAIWP telah diketuai oleh Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, bersama Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP.
Kunjungan hormat tersebut telah disambut oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, bersama barisan pegawai Jabatan Mufti Negeri Melaka.
Kunjungan ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan kerjasama serta mempererat silaturahim antara kedua-dua institusi dalam memperkasakan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.
Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil yang menzahirkan penghargaan atas kesudian pihak MAIWP mengadakan kunjungan hormat tersebut. Seterusnya, ucapan balasan telah disampaikan oleh pihak MAIWP yang menekankan kepentingan kolaborasi strategik antara institusi agama bagi memastikan tadbir urus Islam dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Kunjungan ini turut diserikan dengan sesi perbincangan dua hala yang membincangkan pelbagai isu berkaitan pentadbiran Islam, pertukaran pandangan serta peluang kerjasama pada masa hadapan. Perbincangan ini diharapkan dapat memberi manfaat bersama dalam usaha memperkukuh institusi keagamaan di peringkat negeri dan persekutuan.
Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen berterusan MAIWP dan Jabatan Mufti Negeri Melaka dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama demi kepentingan ummah.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti “Maulid & Berzanji: Tradisi, Cinta Rasul dan Isu Bida’ah – Satu Penjelasan”
SERKAM, 19 Disember – Suasana Masjid Al Faizin, Bukit Tembakau dipenuhi para jemaah yang hadir bagi menyertai Program Bicara Mufti yang berlangsung dari jam 6.00 petang hingga 11.00 malam. Program ini menjadi medan perkongsian ilmu dan pencerahan isu-isu keagamaan semasa, khususnya berkaitan amalan tradisi dalam kalangan masyarakat Islam.
Forum yang bertajuk “Maulid & Berzanji: Tradisi, Cinta Rasul dan Isu Bida’ah – Satu Penjelasan” ini menampilkan dua tokoh agama utama sebagai panel, iaitu Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Faudzinaim bin Badaruddin, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Baharudin, Timbalan Mufti Negeri Melaka. Forum ini telah dikendalikan oleh Ustaz Shahrir Asraf bin Datuk Haji Azmi, Penolong Pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Melaka selaku moderator.
Turut hadir memeriahkan program ialah Datuk Zaidi bin Atan, Timbalan EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan Negeri Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Serkam. Beliau turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kit makanan daripada Majlis Agama Islam Negeri Melaka kepada beberapa orang jemaah yang memerlukan. Program ini diharap dapat memberi kefahaman yang jelas kepada masyarakat serta memperkukuh kecintaan umat Islam terhadap Rasulullah SAW berlandaskan ilmu dan panduan yang sahih.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti “Mendepani Cabaran Dunia Digital : Bijak Media, Selamat Akhlak”
BUKIT BARU, 16 Disember – Masjid Al Ehsan,Bukit Baru menjadi tumpuan masyarakat setempat apabila berlangsungnya Program Bicara Mufti anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka bermula jam 6.00 petang hingga 11.00 malam, menghimpunkan para jemaah untuk menghayati perbincangan ilmiah berkaitan cabaran semasa dunia digital dari perspektif Islam.
Program ini telah diserikan dengan forum bertajuk “Mendepani Cabaran Dunia Digital: Bijak Media, Selamat Akhlak” yang menampilkan Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka sebagai panel forum. Sesi perbincangan tersebut telah dikendalikan oleh Ustaz Rosmanizam bin Rosdi selaku moderator.
Turut hadir memeriahkan program ialah YB Tuan Haji Adly bin Zahari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, yang menunjukkan sokongan terhadap penganjuran program berbentuk ilmu dan kerohanian dalam kalangan masyarakat setempat.
Perbincangan forum memberi penekanan terhadap kepentingan kebijaksanaan dalam penggunaan media digital agar selari dengan nilai-nilai Islam serta berupaya memelihara akhlak, khususnya dalam mendepani pengaruh teknologi dan media sosial yang semakin mencabar.
Selain pengisian forum, program ini turut diisi dengan aktiviti Ziarah Kasih yang disempurnakan oleh Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil. Beliau berkesempatan menziarahi beberapa penduduk kampung berhampiran serta menyampaikan sumbangan berupa kit makanan sebagai tanda keprihatinan dan usaha mendekati masyarakat.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Sembang Santai & Majlis Penyerahan Sijil Penandaan Arah Kiblat Peringkat Negeri Melaka
AYER KEROH, 11 Disember 2025 — Program Sembang Santai & Majlis Penyerahan Sijil Penandaan Arah Kiblat Peringkat Negeri Melaka anjuran Bahagian Falak & Syarie, Jabatan Mufti Melaka (JMM) telah berlangsung dengan jayanya di Chamek Cafe, MiTC,Ayer Keroh.
Program yang bermula pada 2.30 petang hingga 5.00 petang itu menghimpunkan para pegawai masjid, institusi-institusi terlibat serta agensi kerajaan bagi menyertai sesi perkongsian santai berkaitan kepentingan penentuan arah kiblat yang tepat dalam pengurusan ibadah umat Islam.
Acara turut diserikan dengan Majlis Penyerahan Sijil Penandaan Arah Kiblat, sebagai pengiktirafan terhadap premis dan institusi yang telah menjalani proses penandaan arah kiblat secara rasmi oleh Bahagian Falak & Syarie Jabatan Mufti Negeri Melaka. Penyerahan sijil ini diadakan bagi memastikan standard ketepatan arah kiblat di seluruh Negeri Melaka sentiasa terpelihara.
Penganjuran program ini bukan sahaja memberi ruang interaksi antara pihak Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan masyarakat, tetapi juga memperkukuh kefahaman awam mengenai peranan ilmu falak dalam kehidupan seharian, khususnya dalam hal penentuan arah kiblat.





![]()
- Published in AKTIVITI
Kunjungan Hormat YB Datuk Mohd Noor Helmy
BUKIT PALAH, 3 Disember – YB Datuk Mohd Noor Helmy hari ini telah mengadakan kunjungan hormat di dalam satu pertemuan bersama Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka. Sesi yang berlangsung pada jam 9.00 pagi itu diadakan di Pejabat Mufti Negeri Melaka.
Kunjungan tersebut bertujuan membincangkan pelbagai peluang kerjasama antara Pejabat Mufti Negeri Melaka dan Japerun DUN Duyong, khususnya melibatkan program-program berbentuk keagamaan, kemasyarakatan serta pembangunan modal insan.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai usaha memperkasakan kefahaman agama dalam kalangan masyarakat setempat melalui program yang lebih tersusun dan berimpak tinggi. Perbincangan turut menjurus kepada pelaksanaan program bersama yang memberi manfaat kepada komuniti DUN Duyong dan negeri secara amnya.





![]()
- Published in AKTIVITI
Majlis Diskusi Fatwa & Penyerahan Tauliah Agama dan Al-Quran bagi Tahun 2025
MELAKA TENGAH, 27 November – Majlis Diskusi Fatwa & Penyerahan Tauliah Agama dan Al-Quran bagi Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada petang Khamis bertempat di Grand Swiss-Bell Hotel, Melaka. Program yang bermula pada jam 2.30 petang dan berakhir pada 5.30 petang itu berjaya menghimpunkan para pendakwah, asatizah serta pegawai agama dari seluruh negeri.
Majlis ini menampilkan penceramah jemputan, Ustaz Haji Ahmad Fahin bin Robani, yang membawakan ceramah bertajuk “Adab & Hikmah Dalam Penyampaian Ilmu dan Dakwah”. Beliau menekankan kepentingan akhlak, kesantunan dan kebijaksanaan sebagai teras penyampaian ilmu agar dakwah dapat diterima dengan lebih berkesan oleh masyarakat.
Acara kemuncak majlis ialah penyampaian tauliah agama yang disempurnakan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka. Seramai 40 penerima telah dianugerahkan tauliah bagi melayakkan mereka menjalankan tugas penyampaian ilmu agama dan pengajaran Al-Quran di negeri Melaka.
Program ini bukan sahaja menjadi platform ilmiah, malah berfungsi sebagai pengiktirafan rasmi kepada para pendakwah dan pengajar agama yang layak, sejajar dengan hasrat Jabatan Mufti Negeri Melaka dalam memperkukuh penyebaran ilmu secara beretika dan bermanfaat kepada masyarakat.





![]()
- Published in AKTIVITI
Majlis Penyerahan Sijil Penandaan Arah Kiblat di Birkin Hotel, Melaka
KLEBANG, 21 November — Jabatan Mufti Negeri Melaka meneruskan komitmen dalam memastikan ketepatan arah kiblat di premis-premis awam dengan menganjurkan Majlis Penyerahan Sijil Penandaan Arah Kiblat bertempat di Birkin Hotel, Melaka.
Majlis bermula dengan aktiviti cerapan Jamadilakhir 1447H dilaksanakan di balkoni suite, aras 37 yang menghadap ufuk Barat Hotel. Aktiviti cerapan ini bertujuan memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang kepentingan mencerap hilal serta mendedahkan kpd mereka tentang proses kerja untuk mencerap hilal menggunakan perlatan teleskop dan alatukur bagi memastikan Takwim Hijri yang dihisab menepati Kriteria Imkan al-Rukyah semasa.
Selain itu, pihak Jabatan Mufti telah berjaya membuat semakan dan tandaan arah kiblat di 579 bilik menggunakan kaedah bayang matahari dan alatukur moden Total Station di setiap sudut bangunan hotel. Ini menjadikan Birkin International Hotel sebagai sebuah hotel yang mesra Muslim dan orang awam.
Majlis disempurnakan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, yang juga menyerahkan Sijil Penandaan Arah Kiblat kepada pihak pengurusan Birkin Hotel sebagai pengiktirafan rasmi bahawa premis berkenaan telah melaksanakan sepenuhnya semakan dan tandaan arah kiblat.
Ini dilihat penting dalam meningkatkan keselesaan dan keyakinan pelancong Muslim yang menginap di hotel tersebut.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti : “Masjid Makmur, Ummah Sejahtera”
DURIAN TUNGGAL, 5 November – Program Forum Bicara Mufti Sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Durian Tunggal telah berlangsung meriah di Masjid Ar Rahmah, Kampung Pancor, bermula jam 6.00 petang hingga 11.00 malam.
Forum bertemakan “Masjid Makmur, Ummah Sejahtera” itu turut dihadiri oleh YB Datuk Zahari Abd Kalil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh peranan masjid dalam membina masyarakat Islam yang sejahtera.
Program menampilkan dua panel jemputan iaitu Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Tuan Haji Hairul Amin bin Madon, Pegawai Khas Agama kepada Ketua Menteri Melaka dengan Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmi, Pembantu Hal Ehwal Islam Agama Jabatan Mufti Negeri Melaka sebagai moderator. Para panelis menekankan kepentingan memakmurkan masjid sebagai pusat ilmu, perpaduan dan kebajikan ummah.
Dalam majlis tersebut, Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin turut menyampaikan sumbangan kit makanan kepada beberapa penerima yang memerlukan, sebagai simbol keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
Program yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat ini berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin, institusi masjid dan masyarakat setempat selaras dengan konsep Wakil Rakyat Untuk Rakyat.





![]()
- Published in AKTIVITI










