KRUBONG, 3 Mac – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Masjid Al-Muttaqin Negeri Melaka (Masjid Cina) dan Majlis Agama Islam Melaka telah menganjurkan Program Iftar Ramadan dan Cerapan Gerhana Bulan Penuh Peringkat Negeri Melaka 1447H/2026M.
Program yang berlangsung di Masjid Cina Negeri Melaka itu menghimpunkan barisan kepimpinan negeri, agensi agama serta masyarakat setempat bagi mengimarahkan program ini di samping menghayati fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku pada malam berkenaan.
Majlis bermula seawal jam 6.00 petang dengan ketibaan dan pendaftaran peserta, diikuti ketibaan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali bin Mohd Rustam hadir untuk menyaksikan fenomena gerhana ini berlaku.
Pengisian ilmiah bertajuk Ibrah Fenomena Gerhana Bulan Penuh telah disampaikan oleh YBhg. Dr. Hj. Kassim bin Hj. Bahali, Ahli Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri Melaka. Dalam pembentangannya, beliau menjelaskan hikmah serta tuntutan syarak berkaitan fenomena gerhana, termasuk galakan menunaikan solat sunat gerhana sebagai tanda kebesaran Allah SWT.
Para hadirin kemudiannya berbuka puasa sebelum menyertai sesi cerapan gerhana bulan penuh pada jam 7.21 malam sehingga 9.17 malam. Fasa Maksimum Gerhana Bulan Penuh telah bermula jam 7.33 malam. Program diteruskan dengan solat Maghrib secara berjemaah, diikuti solat sunat gerhana dan khutbah gerhana.
Majlis pada malam itu turut diimarahkan dengan solat Isyak dan solat sunat Terawih secara berjemaah serta diakhiri dengan jamuan moreh.
Penganjuran program seumpama ini dilihat bukan sahaja mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat, malah meningkatkan kefahaman umat Islam mengenai fenomena astronomi dari perspektif syariah, selaras dengan peranan institusi agama dalam memperkasa ilmu falak dan penghayatan ibadah sepanjang Ramadan.





![]()



