AYER KEROH, 11 Jun – Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Sahibus Samahah Tuan Haji Ehsan bin Mohd. Hosni, Timbalan Mufti Negeri Melaka telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam pada hari ini bertempat di Pejabat TYT Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Ayer Keroh, Melaka.
Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil telah melapor diri di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka pada 4 Jun 2026 (Khamis) dan mula menjalankan tugas secara rasmi sebagai Mufti Kerajaan Negeri Melaka pada 5 Jun 2026 (Jumaat). Manakala, Sahibus Samahah Tuan Haji Ehsan bin Mohd. Hosni telah melapor diri di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka pada 8 April 2026 (Rabu) sebagai Timbalan Mufti Negeri Melaka yang baharu.
Kunjungan hormat ini merupakan antara usaha memperkukuhkan hubungan antara institusi kefatwaan Negeri Melaka dengan pihak Istana, di samping memperkenalkan barisan kepimpinan baharu Jabatan Mufti Negeri Melaka. Pertemuan tersebut turut menjadi medan bagi bertukar pandangan berkaitan hal ehwal agama Islam serta peranan institusi kefatwaan dalam membimbing masyarakat.
Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan kekuatan, kebijaksanaan dan keberkatan kepada Sahibus Samahah Mufti dan Timbalan Mufti Negeri Melaka dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan demi agama, bangsa dan negara. Semoga institusi kefatwaan Negeri Melaka terus cemerlang dalam memartabatkan syiar Islam serta memimpin ummah ke arah kesejahteraan dan keberkatan.





![]()



