ALOR GAJAH, 17 April – Jabatan Mufti Negeri Melaka melalui Bahagian Fatwa & Buhuth telah menganjurkan Program Bicara Mufti Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dun Gadek bertempat di Masjid Al-Qaniteen, Kampung Tanjung Rimau, di sini.
Program ini mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat yang hadir bagi mengimarahkan masjid serta mengikuti pengisian ilmu yang disediakan.
Antara pengisian utama program termasuk aktiviti ziarah kasih ke rumah tiga pesakit terlantar serta penyampaian kit makanan kepada tujuh penerima yang terdiri daripada mantan pegawai syarak dan Ahli Jawatankuasa masjid yang uzur. Sumbangan ini telah disampaikan oleh wakil Jabatan Mufti Negeri Melaka sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan memerlukan.
Kemuncak program adalah ceramah agama yang telah disampaikan oleh Dr. Mohamad Nazli bin Omar, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka dengan tajuk “Masjid Nadi Kampung: Peranan dan Tanggungjawab Bersama”. Ceramah tersebut menekankan kepentingan peranan masjid sebagai pusat pembangunan ummah serta tanggungjawab bersama dalam mengimarahkan institusi tersebut.
Semoga penganjuran program seumpama ini dapat terus memperkukuh hubungan masyarakat serta meningkatkan kesedaran terhadap peranan masjid sebagai pusat penyatuan ummah.





![]()



