TELOK MAS, 14 Jun – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menjayakan Program Bicara Mufti sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Telok Mas yang berlangsung di Masjid Al-Aziz, Kampung Pernu dengan pengisian forum bertemakan “Ma’al Hijrah: Menelusuri Manhaj Perubahan Dalam Pembinaan Ummah”.
Program tersebut menampilkan Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama YBhg. Datuk Haji Rahimin bin Bani, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka sebagai panel forum, manakala sesi forum dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmee, Pembantu Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Melaka.
Forum yang berlangsung selepas solat Maghrib berjemaah itu mengupas penghayatan peristiwa hijrah sebagai asas pembentukan masyarakat yang berdaya maju, berakhlak dan berpegang teguh kepada prinsip Islam dalam mendepani cabaran semasa.
Sebelum forum berlangsung, turut diadakan program Ziarah Kasih ke beberapa kediaman penduduk sekitar sebagai keprihatinan dan pendekatan dakwah yang dekat dengan masyarakat.Program berakhir dengan penyampaian cenderahati serta jamuan bersama para jemaah dan penduduk setempat yang hadir memeriahkan majlis.





![]()



