MELAKA TENGAH, 5 Mac – Seramai 70 individu menerima Sijil Tauliah Mengajar Agama dan Al-Quran dalam Majlis Bicara Ilmu dan Penyerahan Sijil Tauliah Mengajar Agama dan Al-Quran Siri 1/2026 yang berlangsung di Swiss Garden Hotel Melaka.
Program ini menghimpunkan para guru agama dan Al-Quran dalam usaha memperkasa penyampaian ilmu Islam kepada masyarakat.
Majlis dimulakan dengan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Yang Arif Tuan Shukeri Najib bin Ab. Rahim, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bertajuk “Ramadan Madrasah Taqwa: Membina Mukmin Berkualiti.” Dalam tazkirah tersebut, beliau menekankan bahawa bulan Ramadan merupakan madrasah terbaik dalam membentuk insan bertakwa melalui penghayatan ibadah, pembinaan akhlak dan pengukuhan keimanan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin,Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka. Dalam majlis yang sama, beliau turut menyampaikan Sijil Tauliah Mengajar Agama dan Al-Quran kepada 70 orang penerima tauliah sebagai pengiktirafan kepada individu yang layak untuk mengajar serta menyampaikan ilmu agama secara rasmi.
Penganjuran majlis ini diharapkan dapat terus memperkukuh jaringan para pendidik agama serta memastikan penyampaian ilmu Islam kepada masyarakat dilaksanakan oleh mereka yang berkelayakan, berautoriti dan berintegriti.
Semoga usaha ini dapat melahirkan lebih ramai pendidik agama yang berwibawa dalam membimbing masyarakat ke arah penghayatan Islam yang lebih menyeluruh.





![]()



