ALOR GAJAH, 23 April – Masjid Al-Hijrah Felda Hutan Percha telah menjadi lokasi penganjuran Program Bicara Mufti Sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dun Machap yang berlangsung dengan jayanya dan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Program dimulakan dengan sesi ziarah kasih oleh Tuan Haji Ehsan bin Hosni, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Ahli Jawatankuasa Masjid ke kediaman tiga pesakit terlantar sebagai tanda keprihatinan pihak masjid kepada ahli kariah.
Seterusnya, para hadirin menunaikan solat Maghrib secara berjemaah sebelum diisi dengan ceramah agama yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Hafiz bin Salleh, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka. Ceramah bertajuk “Mendidik Generasi Berakhlak Dalam Era Moden” menekankan kepentingan peranan ibu bapa, institusi keluarga dan masyarakat dalam membentuk generasi yang berakhlak mulia selaras dengan cabaran semasa.
Majlis turut diserikan dengan ucapan oleh Timbalan Mufti Negeri Melaka yang baharu dilantik, Tuan Haji Ehsan bin Hosni, yang mengambil kesempatan memperkenalkan diri kepada masyarakat setempat.
Dalam masa yang sama, turut berlangsung penyampaian kit makanan kepada tujuh penerima yang uzur sebagai inisiatif kebajikan dan sokongan kepada golongan yang memerlukan.
Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat terus memperkukuh hubungan antara institusi agama dan masyarakat di samping menyemai nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.




![]()



