BATU BERENDAM, 30 April – Telah berlangsung Program Bicara Mufti Sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Keroh bertempat di Masjid Nurul Hidayah, Pulau Samak, Batu Berendam bermula jam 5.00 petang hingga 10.00 malam.
Program dimulakan dengan sesi Ziarah Kasih melibatkan Ahli Jawatankuasa Masjid bersama pegawai Jabatan Mufti Negeri Melaka. Antara yang terlibat ialah Ustaz Mohd Nazri bin Majid, Pegawai Hal Ehwal Islam, yang telah berkunjung ke tiga buah rumah mantan pegawai syarak masjid sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan terhadap jasa serta kebajikan mereka.
Seterusnya, program diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Noor Amali @ Muhammad Dhiya’uddin bin Abd Rahim Al-Hafiz bertajuk “Integriti dan Amanah sebagai Teras Kehidupan Muslim”. Penyampaian yang penuh penghayatan ini menekankan kepentingan nilai integriti dan amanah dalam membentuk peribadi Muslim yang unggul.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tetamu Kehormat, YB Adam Adli bin Abd Halim, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya.
Turut hadir, Sahibus Samahah Tuan Haji Ehsan bin Hosni, Timbalan Mufti Negeri Melaka yang telah menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan kepada ahli kariah yang diuji dengan masalah kesihatan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan kepada masyarakat setempat.
Program ini diharap dapat memperkukuhkan kefahaman masyarakat terhadap nilai-nilai murni Islam di samping mengeratkan hubungan antara institusi agama, pemimpin dan komuniti.




![]()



