JASIN, 25 Jun – Membawa misi mendekatkan institusi fatwa dengan masyarakat , Jabatan Mufti Negeri Melaka melalui Bahagian Fatwa & Buhuth tampil menyemarakkan Program Wakil Rakyat Bersama Rakyat (WRUR) Dun Rim melalui pengisian Program Bicara Mufti bertempat di Masjid Ar Rahman, Kampung Kesang, Jasin.
Program dimulakan dengan penuh keinsafan melalui aktiviti ziarah kasih ke rumah-rumah warga emas dan penduduk yang uzur. Menerusi ziarah tersebut, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Sahibus Samahah Datuk Wira Hj. Abdul Halim bin Tawil bersama rombongan meluangkan masa menyantuni serta menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan bagi meringankan beban golongan yang memerlukan.
Kemuncak atur cara diteruskan pada sebelah malam menerusi penganjuran wacana ilmiah. Sesi tersebut membincangkan tajuk “Hijrah Rasulullah S.A.W : Asas Penyatuan Ummah” dalam usaha mengupas kepentingan perpaduan berpandukan sirah Islam.
Diskusi berkenaan membariskan Datuk Wira Hj. Abdul Halim bin Tawil selaku panel bersama Timbalan Mufti Negeri Melaka, Sahibus Samahah Tuan Haji Ehsan bin Mohd. Hosni manakala Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Ustaz Shahrir Asraf bin Hj. Azmi bertindak selaku moderator.
Antara intipati utama yang diketengahkan adalah mengenai signifikan peristiwa penghijrahan Baginda Rasulullah. Ahli panel turut menekankan perlunya masyarakat menghayati semangat hijrah dalam konteks memperkukuh perpaduan nasional serta mengetepikan jurang perbezaan demi kemaslahatan ummah.
Program kemasyarakatan ini bukan sahaja berjaya menyebarkan ilmu, malah memenuhi objektif utama dalam mendekatkan institusi fatwa dengan masyarakat melalui pendekatan yang lebih prihatin.





![]()



